Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak anda berada dalam situasi di mana seorang rakan atau ahli keluarga datang untuk meminjam wang? Apabila kita menolak, bukan kerana kedekut, tetapi mungkin kerana keperluan sendiri atau komitmen yang padat ,respons yang diterima amat mengejutkan. Tiba-tiba, kita pula yang kelihatan seperti orang jahat. Mereka mula berubah sikap, bertindak dingin, mengelak daripada bercakap, malah melayan kita seperti kita telah melakukan dosa besar. Fenomena ini sebenarnya satu bentuk ugutan emosi, di mana mangsa keadaan bertukar menjadi pesalah hanya kerana tidak mampu menolong kerana diri sendiri pon mempunyai kekangan kewangan dan masalah lain.
Apabila seseorang berada dalam kesempitan wang, mereka sering kali berada dalam fasa terdesak. Namun, itu bukan tiket untuk mereka melupakan batas hormat. Sikap dingin yang ditunjukkan itu selalunya berpunca daripada ego yang terluka kerana mereka menganggap penolakan tersebut sebagai penolakan terhadap diri mereka secara peribadi. Selain itu, taktik memulaukan kita ini sengaja dibuat untuk menimbulkan rasa bersalah yang mendalam dalam diri kita (play victim), dengan harapan kita akan menukar fikiran dan akhirnya mengalah dan memberikan pinjaman wang tersebut kerana tidak tahan dengan suasana yang tegang. Ada juga segelintir individu yang mempunyai rasa berhak, di mana mereka merasakan orang yang kelihatan lebih stabil kewangan wajib membantu mereka, tanpa memikirkan bahawa setiap orang mempunyai komitmen dan bebanan masing-masing yang tidak diceritakan kepada umum.
Kita perlu sedar bahawa duit kita adalah hak kita sepenuhnya. Menolak untuk memberi pinjaman tidak bermakna kita seorang yang kejam atau tidak berhati perut. Menjaga kestabilan kewangan dan emosi sendiri adalah satu bentuk tanggungjawab, bukannya mementingkan diri sendiri. Malah, ramai yang akhirnya menyesal kerana apabila memberi pinjam, mereka kehilangan kedua-duanya sekali iaitu wang dan juga hubungan tersebut apabila si peminjam mula melarikan diri waktu mahu dituntut. Jadi, menyekat masalah ini daripada awal sebenarnya adalah satu tindakan yang sangat bijak.
Jika anda berdepan dengan seseorang yang tiba-tiba mogok dan berpaling muka kerana tidak dapat pinjam duit, perkara terbaik untuk dilakukan adalah kekal tenang. Jangan sesekali menghantar mesej merayu atau meminta maaf secara berlebihan kerana anda tidak melakukan sebarang kesalahan atau jenayah. Berikan mereka ruang dan biarkan mereka dengan sikap dingin tersebut. Anggap sahaja situasi ini sebagai satu rahmat dan saringan semula jadi untuk melihat siapa kawan yang ikhlas menerima kita seadanya, dan siapa yang hanya mendekati kita apabila ada kepentingan peribadi. Sahabat atau saudara yang matang akan menghormati keputusan dan privasi kewangan anda, bukannya menghukum anda dengan keheningan yang toksik.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.