Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Bahaya STD Pasca Raya: Belia Jangan Gadai Masa Depan

Sifilis, kencing nanah (gonorea) dan HIV kini bukan lagi "cerita dalam drama", tetapi realiti yang sedang menghantui bilik-bilik rawatan.

Ini satu tamparan hebat buat masyarakat kita. Di sebalik kemeriahan berbaju raya dan ziarah-menziarahi, rupa-rupanya ada sisi gelap yang makin membarah dalam kalangan anak muda kita. Laporan daripada klinik-klinik kesihatan yang menunjukkan lonjakan kes penyakit kelamin atau Sexually Transmitted Diseases (STD) sejurus selepas musim perayaan adalah satu amaran merah yang tidak boleh dipandang sepi. Apa yang paling meruntun jiwa, mangsanya bukan lagi golongan dewasa semata-mata, tetapi remaja seawal usia 17 hingga 21 tahun yang sepatutnya sedang sibuk membina masa depan, bukannya beratur di klinik menunggu keputusan ujian darah.

Mungkin bulan puasa semua kena “ikat” dah raya ni kemain terbang sana sini, pergaulan bebas tanpa batas yang berselindung di sebalik aktiviti “healing” atau perjumpaan semula kawan lama. Musim cuti panjang sering dijadikan alasan untuk anak muda keluar rumah tanpa pengawasan ketat, terjebak dalam temu janji dalam talian (dating apps), dan berakhir dengan hubungan seks rambang. Mereka menyangka mereka selamat, namun realitinya, bakteria dan virus tidak mengenal mangsa. Sifilis, kencing nanah (gonorea), dan HIV kini bukan lagi “cerita dalam drama”, tetapi realiti yang sedang menghantui bilik-bilik rawatan.

Masalah utama generasi sekarang adalah kurangnya pendidikan seks yang betul dan sikap terlalu berani mencuba. Ramai yang terpengaruh dengan gaya hidup bebas di media sosial sehingga menganggap seks sebelum kahwin itu sebagai satu “norma”. Lebih menakutkan, ada yang berani melakukan hubungan berisiko tanpa perlindungan hanya kerana percaya kepada rupa paras pasangan yang nampak “bersih” atau “baik”. Hakikatnya, STD tidak mempunyai wajah. Ramai yang dijangkiti sebenarnya tidak menunjukkan sebarang simptom luaran pada peringkat awal, namun mereka sudah pun menjadi pembawa yang aktif menyebarkan kuman tersebut kepada orang lain.

Kesan jangkitan ini bukan sekadar pada fizikal, tetapi juga pada masa depan dan mental anak muda ini. Bayangkan di usia 20 tahun, anda sudah terpaksa menanggung beban ubat-ubatan seumur hidup atau berdepan dengan risiko kemandulan akibat komplikasi penyakit kelamin yang tidak dirawat awal. Rasa malu dan stigma masyarakat sering menyebabkan mereka takut untuk mendapatkan rawatan awal, lalu membiarkan penyakit itu merebak sehingga ke tahap yang kritikal. Klinik bukan sekadar tempat mengambil ubat, tetapi ia kini menjadi saksi kepada hancurnya maruah dan kesihatan generasi pelapis negara akibat nafsu yang tidak terkawal.

Kesimpulannya, kita perlu berhenti bersikap naif dan menutup sebelah mata terhadap isu moral anak muda ini. Ibu bapa perlu lebih peka dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan ke mana mereka pergi sepanjang musim cuti. Jangan biarkan “kebebasan” yang kita berikan menjadi tiket untuk mereka menggadaikan nyawa dan masa depan. Pendidikan tentang bahaya STD perlu diperhebatkan secara realistik, bukannya secara kiasan sahaja. Jika trend ini berterusan, kita bukan sahaja kehilangan moral, tetapi juga bakal berdepan dengan krisis kesihatan awam yang sangat parah dalam kalangan belia.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.