Dengar playlist penuh di sini
.
Kenapa ada orang yang pautannya pada masa lalu begitu kuat sehingga dia nampak seolah-olah “mati” di dalam hidup yang sedang berjalan? Jawapannya bukan kerana dia lemah, tetapi kerana dia sedang berkabung atas sebuah kematian yang tidak ada kuburnya, iaitu kematian sebuah harapan. Melupakan seseorang yang pernah menjadi pusat semesta kita bukan sekadar membuang barang atau memadam nombor telefon. Ia adalah proses mencabut sebahagian daripada nyawa sendiri yang sudah terlanjur mencintai sepenuh hati dan dah berakar umbi dalam setiap inci urat nadi dan rutin harian kita.
Sakit yang paling dalam datang daripada kenangan yang seringkali muncul tanpa dijemput. Kita boleh tukar minyak wangi, kita boleh pindah rumah, tapi kita tak boleh lari daripada bau udara yang tiba-tiba mengingatkan kita pada si dia. Kita tak boleh lari daripada lagu yang berkumandang di radio yang tiba-tiba rentaknya terasa seperti jantung sedang dihiris sembilu. Otak manusia ini kejam, ia akan tayangkan semula saat-saat paling bahagia secara berulang-ulang tepat pada waktu kita sedang rasa paling sunyi. Kita terperangkap dalam penjara nostalgia di mana kuncinya ada pada orang yang sudah pun bahagia,dan mungkin ada yang sedang bahagia dengan orang lain.
Lebih menyedihkan,kita sebenarnya bukan rindu pada susuk tubuh si dia semata-mata, tapi kita rindu pada versi diri kita yang dulu,yang penuh tawa, yang rasa dihargai, dan yang rasa “cukup” bila ada dia. Bila dia pergi, dia bawa lari sekali cahaya dalam mata kita. Kita pandang cermin, tapi kita tak kenal siapa yang sedang memandang balik. Kita rasa kosong, seolah-olah hanyalah sebuah bekas yang dah pecah dan tak mampu lagi menampung apa-apa perasaan baru. Kita jadi takut nak move on sebab kita rasa kalau kita lupakan dia, maknanya segala pengorbanan dan cinta kita selama ini hanyalah satu sia-sia yang tak berbekas.
Punca utama kita gagal melangkah adalah kerana kita masih menyimpan “harapan” di sudut hati yang paling gelap. Masih bayangkan satu hari nanti telefon kita akan bergegar dengan nama dia di skrin. Kita masih reka dialog dalam kepala tentang apa yang kita akan cakap kalau berjumpa semula. Harapan inilah yang menjadi racun paling berbisa,ia buat kita rasa macam perpisahan ini hanyalah satu mimpi buruk yang akan berakhir. Hakikatnya, dia sudah pun membina syurga baru, manakala kita masih lagi setia menjaga sisa-sisa runtuhan bangunan lama yang dah lama ditinggalkan.
Sedarilah, hati yang hancur berkecai itu perlukan masa untuk dicantum semula, dan mungkin bentuknya takkan pernah sama macam dulu. Tak salah untuk menangis sehingga air mata kering, tapi jangan biarkan hidup kita terhenti pada satu bab yang orang lain dah pun tutup bukunya. Kita berhak untuk bahagia semula, walaupun sekarang rasa macam mustahil. Satu hari nanti, kita akan bangun dan sedar yang nama dia tak lagi buat dada kita sesak. Sampai waktu itu, teruskanlah bernafas, walaupun setiap helaannya terasa berat dengan beban rindu yang tak berpenghujung.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.