Dengar playlist penuh di sini
.
Dulu, bila sebut nama artis, kita terus bayangkan suara yang keluar dari radio, kaset dan CD. Hari ini, bila nama yang sama disebut, muncul pula wajah generasi baharu ,bukan orang lain , tapi anak-anak mereka pula yang sedang mencipta nama di pentas sendiri. Fenomena ini membuatkan ramai tertanya-tanya, betulke bakat seni ini diwarisi, atau sekadar kebetulan?
Kalau dulu ramai yang tergila-gilakan Awie dan Jamal Abdillah, bukan sekadar popular, handsome, suara sedap, tetapi vokal dan karisma pentas mereka sangat tinggi. Lagu-lagu mereka hidup lama, bukan bermusim. Kehebatan ini bukan sekadar hanya teknik yang strong, tetapi jiwa , sesuatu yang sukar diajar, tapi boleh diturunkan melalui persekitaran. Kini, anak bujang masing-masing pula yang ambil takhta ayah mereka, Merah dan Zaki Yamani yang juga pandai menyanyi bukan sahaja memiliki wajah yang tampan, malah boleh tiru ayah masing-masing. Power kan?
Kalau sebut Siti Sarah Raisuddin pula , ramai yang hiba, arwah Siti Sarah meninggalkan kesan besar walaupun sudah tiada. Arwah bukan sahaja dikenang kerana suara, tetapi kerana disiplin dan kesungguhan dalam industri. Anak-anak yang membesar dalam rumah artis seperti ini sejak kecil sudah biasa melihat latihan, rakaman, tekanan dan pengorbanan. Tanpa sedar, seni menjadi bahasa harian mereka, kini perlahan-lahan kita dapat lihat Talita, satu-satunya anak perempuan arwah dapat menguasai teknik nyanyian seperti arwah ibunya, lebih mengagumkan, suaranya juga persis suara lunak Siti Sarah.
Untuk ratu angkat kening, Ziana Zain, ikon vokal yang konsisten dari dulu hingga kini. Kehalusan kawalan suara, etika kerja dan cara membawa diri bukan sekadar bakat semula jadi, tetapi budaya yang hidup dalam keluarga berdarah seni ini, siapa tak kenal Anwar Zain, adik kepada Ziana, dan kini Ernie Zakri pemenang anugerah vokal terbaik juara lagu juga merupakan darah daging kedua-dua penyanyi hebat ini.
Namun, penting untuk difahami, bakat turun-temurun bukan jaminan kejayaan. Ramai anak artis yang gagal menyerlah kerana bergantung pada nama keluarga semata-mata. Yang benar-benar bersinar ialah mereka yang bekerja lebih keras, sedar bahawa perbandingan dengan ibu bapa akan sentiasa ada, dan sanggup berdiri atas kemampuan sendiri.
Dalam dunia hari ini, pentas sudah berubah. Dulu radio dan TV menentukan segalanya. Kini, media sosial, platform digital dan reaksi netizen menjadi penentu. Tekanan kepada anak artis sebenarnya lebih besar. Mereka bukan sahaja perlu pandai menyanyi, tetapi perlu membuktikan bahawa kejayaan mereka bukan hasil ‘warisan nama’ ibu dan ayah yang glamor.
Ya, bakat boleh turun-temurun, tetapi yang menjadikannya bersinar ialah usaha, disiplin dan jiwa seni yang diasah. Darah seni mungkin mengalir, tetapi tanpa kerja keras, ia tetap akan kering. Dan bila kita melihat generasi lama dan baharu berkongsi satu pentas, di situlah kita sedar, seni yang benar-benar tulen tak pernah putus, cuma bertukar wajah.
Mungkin lepas beberapa tahun, kita dapat lihat anak Dato Sri Siti Nurhaliza, Afiyah dan Afwa pulak di pentas? Mana taknya ibunya penyanyi hebat kot.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.