Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Belasah Pembantu, Undang-Undang Tak Tanya Siapa Mula Dulu

Mereka pukul pembantu sebab nak bela anak. Tapi sekarang, kalau dua-dua ibu bapa ditangkap dan dipenjarakan, anak itulah yang paling menderita.

Video yang tular baru-baru ini menggambarkan kejadian yang mencetus kemarahan ramai, video seorang pembantu rumah warga Indonesia yang sudah berusia dibelasah oleh pasangan suami isteri iaitu majikannya secara bergilir-gilir. Isteri mula dahulu, kemudian suami pula naik ke atas dan menumbuk tanpa henti.

Namun cerita ini ada dua belah pihak. Video penjelasan kemudiannya dikeluarkan, rupa-rupanya pembantu rumah tersebut kantoi melayan anak majikan tersebut dengan sangat kasar, bayangkan anak kecil yang helpless, tak pandai mempertahankan diri, tak pandai melawan, sudah tentu, sebagai ibu bapa, naluri melindungi anak membuak-buak, memang valid perasaan majikan tersebut untuk marah dan mengamuk. Mungkin, kalau siapa-siapa antara kita dalam situasi tersebut boleh bertindak lebih kejam.

Tapi yang ingin kami bincangkan di sini adalah, cara kita bereaksi terhadap sesuatu masalah sebenarnya menunjukkan sifat sebenar diri kita. Bukan semasa kita tenang, tapi semasa kita marah, itulah cerminan sebenar peribadi seseorang.

Memanjat seorang wanita tua yang sudah tumbang dan menumbuknya tanpa henti bukan tanda seorang bapa sedang melindungi anak. Itu tanda seseorang sedang kehilangan kewarasan sepenuhnya.Di mana letaknya peradaban sebagai suami dan ketua keluarga? Seorang lelaki smackdown wanita tua bukan tanda kekuatan atau cara menunjukkan anda ketua keluarga yang melindungi keluarga, tapi ia tanda kegagalan mengawal diri di saat paling kritikal. Jangan bertindak melulu, kawal diri dan berfikir secara rasional.Nak tau kenapa?

Sebab kita hidup dalam negara yang ada undang-undang. Di Malaysia, Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000. Jika kecederaan lebih serius, Seksyen 325 pula boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman dua kali ganda bagi keganasan yang melibatkan ahli isi rumah. Tidak kira siapa yang bersalah dahulu, undang-undang tidak tanya siapa yang mulakan, ia hanya lihat siapa yang memukul.

Dan inilah ironinya. Mereka pukul pembantu sebab nak bela anak. Tapi sekarang, kalau dua-dua ibu bapa ditangkap dan dipenjarakan, anak itulah yang paling menderita. Siapa yang jaga? Siapa yang tanggung masa depannya? Sebelum bertindak, fikirkan kesannya kepada anak dan isteri. Satu tindakan dalam kemarahan boleh mengubah nasib seluruh keluarga.

Kalau ada bukti pembantu rumah berlaku kasar kepada anak, ada cara yang betul, rakam bukti, buat laporan polis, hubungi agen, hantar pulang melalui saluran yang betul. Semua pilihan ini ada dan berkesan tanpa perlu memusnahkan masa depan keluarga sendiri.

Kekerasan tidak semestinya dibalas dengan kekerasan. Orang yang berakal tidak bertindak melulu atas emosi. Kerana cara kita menangani masalah itulah yang membezakan antara insan yang berperadaban dengan orang yang hilang kawalan apabila diuji. Negara kita ada undang-undang, gunakanlah. Supaya kita boleh terus melindungi keluarga dan sekaligus boleh melindungi anak-anak orang lain juga, kerana pelaku akan dikenakan tindakan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.