Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Kenapa Pegaga Dikatakan Ulam Paling Power Untuk Otak?

Kajian mendapati pegaga bukan sahaja berupaya meningkatkan ingatan, malah turut mengurangkan paras glukos dan kolesterol.

Zaman kecil, nenek suruh makan pegaga, kita pon makan sambil buat muka, yelah budak-budak mana suka ulam. Sekarang, saintis dari seluruh dunia tengah berlumba-lumba nak buktikan apa yang nenek kita dah tahu berpuluh tahun lalu, iaitu pegaga bukan sekadar ulam biasa. Ia adalah salah satu herba paling bermanfaat untuk otak.

Pegaga, yang dikenali secara saintifik sebagai Centella asiatica, sering dirujuk sebagai “herba peremajaan” untuk sel saraf dan otak kerana potensinya untuk meningkatkan kemahiran IQ dan daya ingatan. Bukan dakwaan kosong , ini adalah hasil kajian yang telah dijalankan secara serius di pelbagai institusi penyelidikan.

Prof Dr Suhaila Mohamed dari Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengesahkan bahawa kajian yang dijalankan ke atas lelaki dan wanita berusia 35 hingga 55 tahun mendapati pegaga bukan sahaja berupaya meningkatkan ingatan, malah turut mengurangkan paras glukos dan kolesterol dalam darah. Tiga manfaat besar dalam satu ulam. Murah pula tu.

Apa yang buat pegaga begitu istimewa untuk otak? Triterpenoid dan terbitan asiaticoside yang terkandung dalam pegaga telah menunjukkan kesan neuroprotektif terhadap neurotoksisiti beta-amyloid dan kerosakan oksidatif pada neuron , dua faktor utama yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer. Dalam bahasa mudahnya, pegaga membantu melindungi sel otak daripada kerosakan yang berlaku seiring dengan usia.

Kajian pada haiwan juga turut menunjukkan bahawa ekstrak Centella asiatica dapat meningkatkan memori dengan merangsang aktiviti laluan yang dikaitkan dengan pembentukan memori jangka panjang, dan penyelidikan mencadangkan ia mungkin memainkan peranan dalam mencegah kemerosotan kognitif yang berkaitan dengan penuaan.

Dan manfaatnya bukan hanya untuk golongan tua. Pegaga turut dibuktikan membantu meningkatkan keupayaan kawalan saraf dalam kalangan kanak-kanak, kerana ia mempunyai kesan penenang pada sistem saraf. Maknanya, dari budak sekolah yang nak fokus dalam kelas, hingga orang dewasa yang takut nyanyuk di usia tua , pegaga relevan untuk semua peringkat umur.

Yang lebih menarik, pegaga bukan sahaja diiktiraf dalam perubatan tradisional Melayu. Di pelosok dunia lain, pegaga turut tersenarai dalam sistem perubatan herba Ayurveda India dan perubatan tradisional Cina sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambah ingatan. Tiga tamadun berbeza, satu kesimpulan yang sama. Jom , mula amalkan makan pegaga!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.