Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Betul Ke Adab Pengantin Melayu Dah Semakin Hilang?

Seronok dapat pasangan romantik, tapi tak semua yang indah perlu dipertontonkan. Perkahwinan bukan lesen untuk hilangkan batas rasa malu di depan umum.

Dulu, majlis kahwin Melayu cukup sinonim dengan pengantin yang sopan santun. Pengantin duduk bersanding dengan penuh tertib, senyum, tunduk sedikit, jaga gerak-geri. Orang tua-tua pesan, hari nikah bukan sekadar pesta, tapi ibadah. Simbolik penyatuan dua keluarga, dua jiwa, dalam redha Allah.

Sekarang?

Ambil gambar kahwin berpeluk sakan. Bercium-cium depan kamera. Siap upload ke media sosial untuk tatapan umum. Caption pula romantik bukan main, siap slow motion video untuk tontonan satu dunia.

Yes, kita tahu. Awak dah halal. Awak dah sah sebagai suami isteri. Tak ada siapa pertikai itu.

Tapi persoalannya ,semua benda perlu ditayangkan ke?

Pengantin elok pakai busana yang melambangkan agama Islam dan adat Melayu. Songket, samping, tengkolok, veil labuh, baju kurung, kebaya sopan. Tapi dalam masa sama, aksi yang dipamerkan langsung tak mencerminkan nilai pakaian tu.

Macam ironic.

Kita bangga dengan identiti Melayu-Islam yang terkenal dengan kesopanan dan menjaga adab. Tapi dalam masa sama, kita normalize adegan romantis secara terbuka , peluk erat, cium dahi berulang kali untuk cameraman, pegang di sana sini, depan jurugambar, depan tetamu, dan akhirnya untuk tontonan seluruh internet.

Malu itu kan separuh daripada iman.

Kalau konsep malu tu makin terhakis, apa lagi yang tinggal?

Ada yang kata, “Alah, dah kahwin kot.”
Betul. Dah kahwin. Tapi perkahwinan bukan lesen untuk hilangkan batas rasa malu di depan umum.

Seronok dapat pasangan romantik, tapi tak semua yang indah perlu dipertontonkan.

Bayangkan generasi kita benarkan benda ni jadi normal. Lama-lama, yang sederhana akan nampak kolot. Yang menjaga batas akan dianggap ketinggalan zaman. Dan generasi seterusnya? Mereka akan anggap lebih dari itu pun biasa.

Normalisasi ni berlaku perlahan-lahan, hari ini peluk, esok cium, lusa mungkin lebih berani lagi. Sebab semua orang akan kata, “Tak apa, dah kahwin pun.”

Kita selalu risau tentang pengaruh luar, budaya barat, konten tak bermoral. Tapi kadang-kadang kita sendiri yang buka ruang dan jadikan benda tu kebiasaan.

Majlis kahwin sepatutnya diraikan dengan penuh adab. Hormati tetamu, hormati orang tua yang hadir. Hormati nilai agama yang kita junjung. Hari tu bukan sekadar tentang dua individu, tapi tentang maruah keluarga.

Simpan adegan romantis tu untuk ruang peribadi. Printlah besar-besar dan frame kan dalam bilik sendiri, untuk momen berdua yang tak perlu saksi dunia.

Tak salah bergambar mesra. Tapi bezakan mesra dan melampau.

Kalau kita benar-benar sayangkan pasangan, kita juga akan jaga maruahnya. Tak semua kebahagiaan perlu jadi konten.

Dan bila generasi akan datang membesar melihat semua ini sebagai “normal”, jangan terkejut kalau mereka pergi lebih jauh dari apa yang kita pernah bayangkan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.