Dengar playlist penuh di sini
.
Kes perbicaraan remaja Amerika Syarikat, Mackenzie Shirilla, yang dituduh sengaja merempuh dinding bangunan sehingga mengorbankan teman lelakinya, Dominic Russo (Dom), dan rakan mereka, Davian Flanagan, kini kembali menjadi bualan hangat global. Kes ngeri yang digelar sebagai kes “Hell on Wheels” ini mendedahkan bagaimana hubungan toksik, masalah disiplin remaja, dan paling utama, sikap ibu bapa yang menjadi enabler atau pemicu salah laku anak boleh berakhir dengan sebuah tragedi berdarah.
Tragedi ini berlaku pada awal pagi 31 Julai 2022 di Strongsville, Ohio. Mackenzie yang ketika itu berusia 17 tahun memandu sebuah Toyota Camry bersama Dom dan Davian. Menerusi data kotak hitam kenderaan, Mackenzie dikesan sengaja memandu melalui laluan sunyi di sebuah kawasan perindustrian yang telah dia tinjau beberapa hari sebelum kejadian. Dia kemudian menekan pedal minyak sedalam-dalamnya tanpa sebarang cubaan untuk menekan brek, memecut sehingga 92 batu sejam sebelum merempuh dinding batu sebuah bangunan. Rempuhan itu sangat dahsyat sehingga menyebabkan Dom dan Davian maut serta-merta di tempat kejadian, manakala Mackenzie pula terselamat walaupun mengalami kecederaan. Pihak pendakwaan mendedahkan Mackenzie sengaja berbuat demikian untuk menamatkan hubungan toksik antaranya dengan Dom, malah Dom pernah mengadu kepada ibunya bahawa Mackenzie pernah mengugut mahu memecut laju dan merempuh kereta ketika mereka bergaduh.
Apa yang membuatkan masyarakat paling berang dalam kes ini bukan sahaja tindakan kejam Mackenzie, tetapi sikap kedua-dua ibu bapanya yang sangat enabler. Sejak sebelum kejadian lagi, ibu bapa Mackenzie didapati mengetahui bahawa anak perempuan mereka seorang yang sangat bermasalah, mengambil dadah, dan mempunyai masalah kawalan emosi yang kronik. Namun, respons daripada bapanya mengejutkan ramai apabila dia menganggap tabiat mengambil dadah anaknya itu sebagai perkara yang “OK” dan biasa bagi remaja. Malah, selepas Mackenzie sah meragut dua nyawa, ibu bapa remaja ini masih mempertahankan tindakannya dengan mencipta pelbagai alasan, termasuk mendakwa Mackenzie mengalami sindrom perubatan POTS yang kononnya menyebabkan dia terpingsan ketika memandu. Bapanya secara terbuka mengeluarkan kenyataan mempertahankan anaknya di media dan mendakwa sistem keadilan gagal, seolah-olah meletakkan kesalahan kepada pihak lain dan enggan mengakui kecacatan moral anaknya sendiri. Sikap enabler melampau ini gagal mendidik Mackenzie untuk rasa bersalah, sebaliknya membuatkan dia rasa sentiasa dilindungi walau seburuk mana pun jenayah yang dilakukan.
Sama ada masyarakat mahu berdebat sama ada Mackenzie berniat membunuh atau tidak, fakta mahkamah and realiti sosialnya tetap sama iaitu Mackenzie Shirilla adalah seorang remaja yang sangat bermasalah. Apa yang paling menyakitkan hati keluarga mangsa ialah sikap Mackenzie selepas kemalangan tersebut. Semasa berada di hospital dan dalam tempoh siasatan sebelum ditangkap, Mackenzie langsung tidak menunjukkan rasa sedih, kesal, atau hormat kepada keluarga Dom dan Davian yang sedang meratapi kehilangan anak mereka. Sebaliknya, dia terus aktif di media sosial seolah-olah tiada apa-apa perkara ngeri yang berlaku dengan memuat naik video menari di TikTok, menghadiri konsert, dan membuat hantaran harian tanpa rasa sensitif. Kelakuan sosiopat ini membuktikan dia langsung tidak mempunyai rasa empati terhadap dua nyawa yang melayang di tangannya.
Sikap ibu bapa yang enabler dan suka mempertahankan kesalahan anak ini bukanlah asing di Malaysia. Kita sering melihat kes-kes di mana remaja bawah umur memandu atau menunggang motosikal secara berbahaya sehingga meragut nyawa orang lain di jalan raya. Apabila tragedi berlaku, ayat pertama yang sering keluar daripada mulut ibu bapa ego ini adalah mendakwa anak mereka seorang anak yang baik dan tidak bersalah. Mereka gagal melihat bahawa sikap membiarkan anak merempit, memandu tanpa lesen, atau terlibat dengan perkara negatif tanpa ketegasan adalah punca utama anak-anak ini membesar menjadi ancaman kepada masyarakat. Anak yang mati tidak akan boleh diganti dengan wang ringgit atau permohonan maaf. Tragedi Mackenzie ini adalah peringatan keras kepada semua ibu bapa supaya berhenti menjadi penasihat undang-undang untuk kesalahan anak sendiri. Jika anak bermasalah, didik dan disiplinkan, bukan dipertahankan sehingga mereka meragut kebahagiaan keluarga orang lain.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.