Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Label Bos Wanita Bujang Toksik? Anda Katak Bawah Tempurung

Jika seorang wanita itu sudah berkahwin, dia secara automatik akan menjadi seorang ketua yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang?

Sering kali kita terdengar momokan di pejabat atau luahan di media sosial,

“Kalau jumpa bos perempuan yang garang, bossy, menekan-nekan, dan tak ada empati, confirm dia andartu.”

Satu kenyataan yang bukan sahaja tak de empati, malah memalukan untuk diungkapkan pada zaman sekarang. Sungguh hairan bagaimana pada era moden yang serba maju ini, di mana akses maklumat berada di hujung jari, pemikiran sesetengah individu masih terperuk di bawah tempurung.

Sifat toksik, pemarah, atau tidak bertoleransi dalam dunia kerjaya langsung tidak ada hubung kait dengan status perkahwinan seseorang. Perangai buruk di tempat kerja adalah masalah peribadi dan isu sikap individu itu sendiri, bukannya refleksi kepada kad laporan perkahwinan mereka. Adakah bermakna jika seorang wanita itu sudah berkahwin, dia secara automatik akan menjadi seorang ketua yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang? Realitinya tidak. Ramai sahaja pekerja yang merana di bawah telunjuk bos yang sudah beranak-pinak tetapi tetap mengekalkan perangai yang “menekan-nekan” anak buah.

Ramai individu yang sudah membina kerjaya di pelbagai tempat mempunyai pengalaman yang sebaliknya. Mereka pernah dipimpin oleh bos perempuan yang belum berkahwin, tetapi sangat profesional, memahami, dan menjaga kebajikan pekerja bagai keluarga sendiri. Jika anda kebetulan mendapat bos yang tidak berkahwin dan mempunyai sikap yang menjengkelkan, itu hanyalah sebuah kebetulan yang malang, bukannya satu formula yang boleh digunapakai untuk semua wanita bujang. Belum rezeki anda sahaja untuk dipertemukan dengan ketua yang baik.

Menghubungkaitkan kegarangan seorang pemimpin wanita dengan status bujangnya hanya mendedahkan satu perkara,mentaliti anda yang masih terperuk di satu tempat. Kenyataan seperti itu datang daripada minda yang tidak pernah keluar melihat dunia luar, tidak pernah menukar angin kerjaya, dan belum berpeluang untuk mengenali pelbagai ragam manusia. Anda terlalu awal meletakkan stereotype kerana skop persekitaran anda yang sangat sempit dan terbatas.

Sudah tiba masanya untuk keluar dari zon selesa, luaskan pandangan, dan tengoklah dunia yang sebenar. Di luar sana, terdapat ribuan jenis personaliti manusia. Ramai orang baik yang bersikap profesional dan berhati mulia dalam dunia korporat, tanpa mengira sama ada status mereka itu bujang, sudah berkahwin, janda, atau apa sahaja. Profesionalisme diukur melalui kompetensi dan kecerdasan emosi (EQ), bukan melalui status di atas sijil nikah. Jangan biarkan minda kita terus kuno dalam dunia yang sudah bergerak ke hadapan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.