Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Bila “Island Girl From Malaysia” Jadi Punca Bertelagah

Isu pempengaruh dan penyanyi Malaysia yang mengubah lirik lagu Rollerblade nampaknya telah mencetuskan 'perang dunia' mini di media sosial.
Terpalit dengan isu lirik Rollerblade tapi Aisha Retno handled it with so much class gittew!

Dunia hiburan digital kita memang tak pernah sunyi daripada drama. Kalau sebelum ni kita bising pasal isu harga tiket konsert, hari ini kecoh pula satu Nusantara pasal kes tukar lirik lagu. Isu pempengaruh dan penyanyi Malaysia yang mengubah lirik lagu viral Rollerblade nyanyian kumpulan Indonesia, No Na, nampaknya telah mencetuskan ‘perang dunia’ mini di media sosial.

Niat asal penyanyi kita mungkin cuma nak bersikap spontan dan kreatif. Maklum sajalah, dah namanya cover lagu di media sosial, mestilah rasa nak selitkan elemen identiti sendiri mengikut lumrah kreativiti tempatan. Daripada “Island girl from Indonesia”, ditukarnya jadi “Malaysia”. Bagi sekelompok netizen, “Alah, benda kecil je, bukan kita mengaku lagu tu ciptaan kita pun! Kalau tak bagi orang cover kreatif, simpan jelah lagu tu dalam pendrive!”

Namun, situasi menjadi lebih serius apabila isu ini turut mengheret penyanyi multitalented, Aisha Retno yang membawakan lagu tersebut di atas pentas berprestij konsert akhir Talk To My Manager 2. Berbeza dengan pempengaruh media sosial yang menukar lirik sekadar suka-suka, persembahan Aisha di pentas televisyen sebenarnya telah melalui proses semakan ketat dan mendapat kebenaran rasmi serta sah daripada pihak pengurusan pemilik lagu asal. Tuan punya lagu sendiri pun tidak membuat sebarang kekecohan, namun netizen di media sosial pula yang terlebih emosi. Bak kata pepatah, memang lebih sudu dari kuah.

Sikap Aisha Retno yang memilih untuk kekal tenang dan enggan melayan provokasi netizen adalah satu tindakan yang sangat bijak dan matang. Beliau menyerahkan segala urusan dokumentasi kepada pasukan perundangan dan memilih untuk tidak memanjangkan isu remeh ini. Langkah ini membuktikan bahawa industri muzik kita bergerak secara profesional dan menghormati hak cipta, sekali gus menepis dakwaan kononnya artis Malaysia sengaja mahu menciplak.

Pada masa yang sama, kita juga perlu faham mengapa netizen seberang sensitif. Bagi mereka, lirik itu membawa identiti negara mereka yang tersendiri. Apabila berlaku pertembungan antara semangat nasionalisme dan kebebasan kreativiti digital, isu yang sekecil kuman pun boleh meletup jika tidak dikawal dengan fakta yang betul.

Apa-apa pun dalam kebebasan kita berkarya dan berhibur, komunikasi yang jelas serta etika undang-undang seperti yang dilakukan oleh pihak pengurusan Aisha Retno adalah kunci utama. Kreatif itu bagus, undang-undang pun wajib dipatuhi. Selepas ini, jika semua pihak mengikut saluran yang betul, tidak adalah kita asyik penat bergaduh pasal benda yang sama setiap tahun di ruangan komen. Marilah kita jaga kedamaian timeline media sosial kita bersama!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.