Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau ditanya kepada sesiapa yang membesar di kampung atau taman perumahan lama pada era 80-an dan 90-an, pasti ada satu kenangan yang sama iaitu petang-petang di padang tanah lapang, dengan bola plastik atau bola getah buruk, bermain bola hingga langit gelap, dan ibu memanggil dari jauh.
Bola Yang Tidak Sempurna, Permainan Yang Tidak Ternilai
Bola kampung tidak memerlukan banyak perkara untuk berseronok, tidak perlu padang yang rata dan berumput hijau, tidak perlu jaringan gol yang lengkap iaitu dua batu besar atau dua penyapu lama pun sudah memadai, tidak perlu juga kasut bola iaitu berkaki ayam pun jadi, walaupun ibu pasti akan marah melihat tapak kaki yang penuh dengan tanah merah petang itu.
Yang penting adalah bola itu bulat, tanah lapang untuk bermain dan kawan-kawan yang hadir bermain bersama, tiga benda itu sahaja, hari petang mereka boleh menjadi paling seronok untuk mereka bersama-sama.
Peraturan Yang Dicipta Sendiri
Bola kampung ada peraturannya yang tersendiri, berbeza dari padang ke padang, dan dari geng ke geng. Offside mungkin tidak dikira. Gol yang tidak diterima oleh sebelah pihak boleh menyebabkan perdebatan panjang yang lebih mendebarkan dari perlawanan itu sendiri. Dan bila hujan turun mendadak di tengah perlawanan, ada dua pilihan iaitu berlindung atau terus bermain dalam hujan dengan rasa bebas yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Setiap kawan ada peranannya. Ada yang jadi penyerang nombor satu. Ada yang jadi penjaga gol walaupun selalu kena tembak. Ada yang lambat berlari tapi semangat tidak pernah kurang. Dan ada yang datang akhir sekali tapi kuat suara mengarah dari tepi padang.
Padang Yang Sudah Tiada, Kenangan Yang Kekal
Banyak padang bola kampung sudah tidak ada lagi hari ini. Digantikan oleh rumah-rumah baharu, kedai-kedai, atau taman permainan moden yang berpagar. Kanak-kanak zaman sekarang bermain dalam gelanggang tertutup dengan lantai getah dan penerangan lampu kalimantang.
Tapi bagi mereka yang pernah merasai petang di padang tanah merah itu, tiada kemudahan moden yang mampu menggantikan perasaan itu. Perasaan kaki menyentuh tanah, angin petang menyapu peluh di dahi dan teriakan nama sendiri bila berjaya menjaringkan gol. Kenangan itu tidak pernah lapuk, walaupun padangnya sudah lama hilang.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.