Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

‘Adik’ Dah Tak Bangun Waktu Pagi? Ini Yang Lelaki Wajib Tahu

Ereksi pagi yang semakin berkurangan boleh berkait dengan usia, hormon atau masalah kesihatan yang tidak disedari.

Ereksi waktu pagi biasanya berlaku ketika lelaki berada dalam fasa tidur REM (Rapid Eye Movement). Pada waktu ini, paras hormon testosteron berada pada tahap yang lebih tinggi dan aliran darah ke zakar meningkat.

Apabila usia kaum Adam meningkat, kekerapan ereksi pagi memang boleh berkurangan. Paras testosteron secara semula jadi menurun sedikit demi sedikit selepas sekitar umur 30 tahun. Oleh itu, tidak semestinya sesuatu yang berbahaya jika ereksi pagi tidak lagi berlaku sekerap zaman muda.

Selain faktor usia, gaya hidup juga boleh mempengaruhi kekerapan ereksi waktu pagi. Kurang tidur, stres yang berpanjangan, tabiat merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan serta kurang bersenam boleh menjejaskan aliran darah dan keseimbangan hormon dalam badan. Sebab itu, ada lelaki yang mendapati ereksi pagi kembali lebih kerap selepas mereka cuba memperbaiki rutin tidur, mengurangkan tekanan dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Namun, jika ereksi pagi yang sebelum ini kerap berlaku tiba-tiba hilang untuk tempoh yang lama, ia boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah kesihatan yang anda tak sangka seperti:

  • Tekanan darah tinggi
  • Diabetes
  • Penyakit jantung dan saluran darah
  • Paras testosteron rendah
  • Gangguan tidur seperti apnea tidur
  • Tekanan emosi atau kemurungan

Ini kerana ereksi bergantung kepada sistem saraf, hormon dan saluran darah yang berfungsi dengan baik. Jadi jika salah satu daripadanya terganggu, perubahan mungkin dapat dilihat melalui ereksi pagi.

Tidak semestinya ada masalah jika zakar tidak lagi tegang setiap pagi seperti ketika muda. Faktor usia memang memainkan peranan. Namun, jika perubahan itu berlaku secara mendadak, disertai kesukaran mendapatkan ereksi ketika bersama pasangan atau terdapat simptom kesihatan lain, pemeriksaan doktor adalah langkah yang wajar.

Kadangkala, ‘adik’ yang tidak lagi bangun pada waktu pagi bukan sekadar soal prestasi seksual tetapi boleh menjadi petunjuk awal kepada keadaan kesihatan yang lebih besar. Jadi kepada adik-adik, abang-abang, pakcik-pakcik malah atuk-atuk, mohon jangan malu untuk mendapatkan nasihat perubatan jika rasa bimbang mulai mneguasai diri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.