Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Dalam 10 Ibu Lepas Bersalin, 2 Orang Mungkin Mengalami PPD

Kajian mendapati sekitar 14% hingga 20% ibu di Malaysia mengalami simptom kemurungan selepas bersalin.

Dia baru je bersalin, bayi dalam pelukan, suami ambil gambar, keluarga datang melawat bawa buah tangan. Semua orang senyum,semua orang cakap, “Tahniah, dah jadi ibu.” Tapi dalam hati dia, gelap.

Dia tak faham kenapa. Dia baru dapat apa yang dia impikan selama ni. Tapi dia rasa kosong, rasa jauh, rasa macam dia tengok hidup dia dari luar cermin, bukan dari dalam. Dia menangis sorang-sorang dalam bilik air sebab tak nak suami nampak. Dia takut kalau dia cakap apa yang dia rasa, orang akan kata dia tak bersyukur. Atau tak cukup iman dan mungkin manja dan mengada-ngada. Jadi dia pilih untuk senyap dan tanggung sorang-sorang.

Ini bukan cerita tentang hanya seorang wanita. Ini cerita ramai, terlalu ramai ibu di Malaysia. Kajian mendapati sekitar 14% hingga 20% ibu di Malaysia mengalami simptom kemurungan selepas bersalin. Maknanya, dalam setiap 10 orang ibu yang anda kenal, mungkin dua daripada mereka sedang atau pernah lalui simptom ini.

Postpartum depression atau PPD bukan sekadar “sedih lepas bersalin.” Ia berbeza dari baby blues yang biasa, yang datang dalam beberapa hari pertama dan hilang sendiri dalam dua minggu. PPD adalah gangguan mood yang lebih berat, lebih lama, dan boleh jejaskan keupayaan seorang ibu untuk menjaga diri sendiri dan bayinya. Ia boleh berlarutan berbulan-bulan, malah bertahun-tahun kalau tak dirawat.

Simptomnya pun tak selalu nampak ketara sangat. Ada ibu yang rasa terlalu penat sampai tak boleh bangun. Ada yang rasa marah tanpa sebab, lepas tu rasa bersalah sebab marah. Ada yang rasa disconnected dengan bayi sendiri, rasa macam tak ada bonding langsung dan tu buat dia rasa dia ibu yang teruk. Ada yang rasa takut nak tinggalkan bayi dengan orang lain, tapi juga rasa nak lari jauh dari semua ni.

Dan persekitaran kita tak banyak bantu. Pantang larang, tekanan dari ibu mertua, expectation nak jadi ibu yang sempurna, suami yang tak faham kenapa isteri dia “masih sedih” sedangkan dah ada bayi yang sihat, semua ni menambah berat beban yang memang dah berat.

Yang paling menyedihkan, ramai ibu yang tak tahu yang apa yang dia rasa ada namanya. Dia ingat dia je yang macam ni. Dia ingat dia lemah. Dia ingat dia tak layak jadi ibu. Sedangkan sebenarnya, badannya sedang melalui perubahan hormon yang sangat drastik, mindanya sedang menyesuaikan diri dengan identiti baru yang datang tiba-tiba, dan dia perlukan sokongan bukan penghakiman.

Kalau anda sedang baca ni dan rasa macam anda kenal seseorang yang mungkin lalui ini, tanya dia, tapi bukan sekadar “okay tak?” tapi betul-betul duduk dengan dia, dengar, dan jangan cepat-cepat cakap “sabar ye” atau “bersyukurlah.” Kadang yang dia perlukan cuma seseorang yang dengar tanpa judge.

Dan kalau anda sendiri yang lalui ini sekarang, anda bukan ibu yang teruk. Anda sakit dan perlukan bantuan. Itu dua benda yang sangat berbeza.

Dapatkan bantuan. Bercakap dengan doktor. Hubungi Talian Kasih 15999 jika anda perlukan seseorang untuk bercakap. Anda tidak sepatutnya tanggung ini sorang-sorang. Dan orang sekeliling, sila beri perhatian penuh tentang perubahan mereka selepas bersalin.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.