Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Suami Pengotor? Macam Mana Nak Tegur Tanpa Jadi Perang

Mulut busuk, seluar berbau masih mahu dipakai dan sehari tak mandi. Ketahui cara menegur dengan baik supaya mesej sampai tanpa melukakan hati.
A woman appears deep in thought, with hand over lips, conveying emotional distress.

“Mulut busuk, seluar dah berbau hancing pun masih kata baru pakai, seharian tak mandi, tidur sebelah pun kena tutup hidung.”

Luahan seperti ini sebenarnya bukan sesuatu yang asing. Di media sosial, ramai isteri berkongsi pengalaman berdepan pasangan yang kurang menjaga kebersihan diri. Ada yang sekadar ketawa membaca komen-komen netizen tetapi bagi mereka yang mengalaminya setiap hari, ia boleh menjadi isu yang benar-benar memberi tekanan.

Lebih menyakitkan hati apabila pasangan yang kurang menjaga kebersihan itu pula gemar mengkritik penampilan orang lain atau melakukan body shaming, seolah-olah dirinya sudah sempurna.

Persoalannya, bagaimana hendak menegur tanpa mengundang pergaduhan?

Jangan Tegur Ketika Sedang Marah

Kesilapan yang sering dilakukan adalah menegur ketika emosi sedang memuncak.

Ayat seperti “Abang busuklah!” atau “Abang ni pengotor sangat!” mungkin melegakan perasaan sekejap tetapi selalunya hanya membuatkan pasangan menjadi defensif.

Sebaliknya, pilih waktu yang santai. Gunakan ayat yang lebih lembut seperti, “Abang, boleh mandi dulu? Baru lagi selesa nak berehat sama-sama.” Nada yang baik selalunya lebih mudah diterima.

Fokus Pada Tabiat, Bukan Peribadi

Elakkan melabel pasangan sebagai “pengotor”. Sebaliknya, tegur tabiat tertentu.

Contohnya, jika pakaian yang sudah berbau masih mahu dipakai semula, cuba jelaskan bahawa kebersihan bukan sekadar soal bau tetapi juga kesihatan. Bakteria dan peluh yang terkumpul boleh menyebabkan masalah kulit serta bau badan yang semakin kuat.

Apabila pasangan memahami sebab di sebalik teguran, mereka lebih cenderung untuk berubah.

Jadi Contoh Di Rumah

Kadang-kadang perubahan lebih mudah berlaku apabila kita menunjukkan contoh. Jadikan rutin mandi selepas pulang bekerja atau terus memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh sebagai amalan bersama.

Apabila kebersihan menjadi budaya dalam rumah, pasangan juga lebih mudah mengikutinya.

Jika Teguran Berulang Kali Tidak Berkesan

Sekiranya perkara yang sama masih berlaku walaupun sudah ditegur dengan baik berkali-kali, sudah tiba masanya untuk berbincang secara serius.

Terangkan bagaimana tabiat tersebut memberi kesan kepada hubungan, keselesaan, malah keintiman antara suami isteri. Jangan jadikan perbincangan itu sebagai sesi menyalahkan tetapi sebagai usaha untuk sama-sama memperbaiki kehidupan berumahtangga.

Hakikatnya, kebersihan diri bukan sekadar soal penampilan. Ia melambangkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan juga pasangan. Dalam perkahwinan, perkara kecil seperti mandi, memberus gigi atau menukar pakaian mungkin nampak remeh tetapi kesannya boleh menjadi besar jika diabaikan terlalu lama.

Kadang-kadang, pasangan bukan sengaja mahu menjadi pengotor. Mereka mungkin tidak sedar tabiat itu mengganggu orang di sekeliling. Sebab itulah komunikasi yang jujur tetapi penuh hormat sering menjadi langkah pertama ke arah perubahan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.