Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Di Sebalik Kontroversi AI, Acara Citrawarna Ada Manisnya Juga

Citrawarna 2026 yang kembali selepas beberapa tahun terhenti dilaporkan berjaya menarik lebih 700 pelancong.

Program Citrawarna 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 24 hingga 26 Julai lalu mencetuskan kontroversi besar di media sosial, bermula sejak video promosi acara ini disiarkan oleh Tourism Malaysia pada 22 Jun. Video tersebut mempamerkan maskot Wira dan Manja berjalan melalui adegan Dataran Merdeka yang dijana sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan, lengkap dengan babak penyediaan roti canai, penari tradisional, pengukir kayu dan pelbagai komuniti berbilang kaum berpakaian tradisional. Namun begitu, reaksi awal daripada orang ramai jauh daripada yang diharapkan. Ramai netizen mempersoalkan keputusan menggunakan AI sepenuhnya untuk kempen yang sepatutnya mempromosikan budaya asli Malaysia, sehingga Tourism Malaysia terpaksa menarik balik video berkenaan hanya dua hari selepas ia disiarkan. Menurut data analisis media oleh firma CARMA, majoriti perbualan negatif tertumpu kepada isu keaslian, manakala kebimbangan tentang peminggiran kreatif tempatan turut menyumbang kepada kritikan tersebut.

Kontroversi tidak berhenti di situ. Semasa acara kemuncak berlangsung, penggunaan muzik yang dikatakan turut dijana oleh AI turut menerima kecaman hebat di platform Threads, dengan ramai menggambarkannya sebagai tidak bernyawa dan kurang sentuhan insan. Antara suara yang lantang menyuarakan kekecewaan ialah selebriti Eric Fuzi, yang mempersoalkan sebab bakat tempatan tidak dilibatkan sepenuhnya dalam acara sebegini. Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak kekurangan bakat muzik, dan peluang sepatutnya diberikan kepada pemuzik dan kreator tempatan untuk mempamerkan kebolehan mereka pada platform kebangsaan. Isu ini menurut beliau bukan sekadar soal bakat tempatan diabaikan, tetapi juga bagaimana peruntukan untuk program berskala besar sebegini boleh diagihkan dengan lebih meluas demi memanfaatkan komuniti kreatif negara.

Selain isu AI, Orang ramai turut mempersoalkan susun atur pentas acara yang didakwa tidak mesra pengunjung, dengan ramai terpaksa menonton dari belakang kawasan pentas tanpa skrin besar atau ruang tontonan yang sesuai. Sesetengah kumpulan persembahan turut dilaporkan terpaksa membuat persembahan menghadap khemah tertutup dan bukannya khalayak awam, walaupun akhirnya penonton bersorak apabila para artis berpaling dan menghadap terus ke arah orang ramai. Beberapa netizen turut mempersoalkan kemampuan penganjur menguruskan acara berskala besar sebegini, dengan sesetengah berpendapat pelaksanaannya tidak setanding jangkaan sebuah showcase pelancongan kebangsaan yang penting.

Begitulah hakikatnya, rumah dah siap pahat masih berbunyi, namun di sebalik kritikan tersebut, Citrawarna 2026 yang kembali selepas beberapa tahun terhenti dilaporkan berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa daripada 12 buah negara termasuk China, India, Jepun, Indonesia, Singapura, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis, hasil pakej pelancongan yang dirancang khas sempena kempen Visit Malaysia 2026. Netizen turut bangga dengan keindahan dan kepelbagaian budaya yang disaksikan oleh pelancong-pelancong dari luar negara.

Namun di sebalik segala kritikan tentang pengurusan dan penggunaan AI, ada satu perkara positif yang turut ketara daripada perbincangan netizen sepanjang isu ini bergolak. Ramai yang sebenarnya menyatakan rasa rindu dan dahaga terhadap acara kebudayaan sebegini, sambil mengimbau kemeriahan Citrawarna pada era sembilan puluhan dan awal dua ribuan, ketika perarakan kaum dan pertunjukan budaya di jalan raya menjadi tarikan tahunan yang dinanti-nantikan seluruh rakyat. Justeru, kritikan yang bertimbun terhadap Citrawarna 2026 bukanlah tanda rakyat sudah tidak mengendahkan acara sebegini, sebaliknya ia menunjukkan sebaliknya, iaitu masih ada kerinduan mendalam terhadap semangat perpaduan dan kemeriahan budaya yang pernah dirasai dahulu, dan harapan agar penganjuran akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih bersungguh-sungguh serta melibatkan lebih ramai bakat dan penglibatan tempatan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.