Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Doa Mak Ayah Memang Makbul Tapi Jangan Sampai Sombong!

Kata-kata buruk ibu bapa boleh hancurkan masa depan anak. Ingat, di dunia mereka perlukan doa kita tapi di kubur nanti kita perlukan mereka.
Back view of unrecognizable black boy with Afro hair standing in front of crop anonymous dad pointing finger and scolding at home

“Kau ni memang bebal, tak boleh harap!” Pernah tak terlepas perkataan macam ni dekat anak? Kadang-kadang sebagai ibu bapa, bila tengah geram atau penat, mulut kita laju saja menghamburkan kata-kata. Kita fikir anak kecil lagi, tak faham apa-apa dan esok lusa mereka akan lupa. Tapi sedarlah wahai ayah dan ibu, perkataan buruk yang keluar dari mulut kita itu boleh melekat dalam kepala anak sampai mereka mati!

Mereka akan bawa luka itu sepanjang kehidupan mereka. Setiap kali mereka nak melangkah ke depan, suara-suara hinaan daripada orang tua sendiri akan bergema dalam kepala, meragut keyakinan diri mereka.

Kita Takkan Boleh Teman Mereka Selamanya

Dalam kita sibuk mencorakkan hala tuju anak-anak, satu perkara kita kena sedar yang kita takkan hidup selamanya untuk teman mereka. Sampai satu masa, mereka akan ada jalan hidup sendiri. Hala tuju anak bukan setakat lepas SPM atau tamat universiti sahaja tapi ia berpanjangan sehingga mereka ada kawan-kawan, kerjaya, dan membina keluarga sendiri.

Persoalannya, bekalan emosi apa yang kita tinggalkan untuk mereka hadapi dunia luar? Adakah memori penuh trauma atau kenangan yang mendewakan?

Jangan Sombong Dengan Doa Ibu Bapa

Satu lagi tabiat yang biasa kita dengar bila orang tua marah ialah mengugut menggunakan doa. “Kau jangan sampai aku doakan benda buruk jadi kat kau…” Ya, memang benar doa mak ayah itu makbul dan tiada hijab. Tapi tolonglah, jangan terlalu sombong dengan ‘kuasa’ doa yang kita ada. Sifat sombong dan ego itu langsung tak membawa kebaikan. Ingat satu pusingan hidup yang sangat adil ini:

Di dunia ini, anak-anak memang sangat memerlukan doa daripada ibu bapa mereka. Tetapi bila kita sudah masuk ke dalam kubur nanti, kita pula yang mengharapkan doa daripada anak-anak.

Kalau sewaktu di dunia kita asyik menyumpah, menghina dan merendahkan mereka, layakkah kita mengharapkan jemari mereka tadah doa ampunan untuk kita di alam barzakh nanti?

Jagalah lisan kita di hadapan anak-anak. Tegurlah dengan tegas tetapi berhemah. Jangan sampai kata-kata kita hari ini menjadi asbab kita menangis di alam sana nanti.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.