Dengar playlist penuh di sini
.

Apabila PUTRA LRT mula beroperasi pada September 1998 dengan laluan dari Kelana Jaya ke Pasar Seni, ada sesuatu yang dirasakan luar biasa oleh rakyat Malaysia ketika itu. Perasaan itu bukanlah kerana tren tersebut terlalu mewah atau kelajuannya melebihi jangkaan. Sebaliknya keunikan itu dirasai kerana buat pertama kalinya, orang ramai menaiki tren yang bergerak sendiri tanpa ada pemandu di bahagian hadapan. Pada ketika itu, pengalaman tersebut dirasakan seolah-olah bukan berada di Malaysia tetapi seperti melihat gambaran masa depan dalam filem.
Bagi sesiapa yang pernah menaiki PUTRA LRT pada awal pengoperasiannya, ada satu perkara yang mahu dilakukan oleh hampir semua orang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Perkara tersebut adalah untuk duduk di bahagian paling depan gerabak pertama sambil melihat landasan tren yang lurus di hadapan tanpa ada kelibat pemandu yang menghalang pandangan.
Perasaan itu sukar untuk diterjemahkan. Tren bergerak laju manakala bangunan-bangunan di Kuala Lumpur berlalu pergi di kiri dan kanan. Apabila berada di bahagian paling hadapan, kita akan berasa seolah-olah sedang memandu tren itu sendiri walaupun tangan tidak menyentuh sebarang komponen kawalan. Ramai kanak-kanak yang datang bersama keluarga akan berebut-rebut untuk mendapatkan tempat duduk utama itu lama sebelum tren sampai di stesen.
Apabila laluan dilanjutkan pada Jun 1999 dari Pasar Seni ke Terminal PUTRA, fasa ini turut membawa satu lagi perkara baharu iaitu stesen bawah tanah pertama di Malaysia. Stesen-stesen seperti Masjid Jamek, Dang Wangi, dan KLCC yang terletak di bawah tanah memberikan pengalaman yang berbeza sekali lagi. Suasana menuruni eskalator yang panjang, memasuki ruang yang lebih sejuk dan sunyi berbanding di permukaan, serta menunggu tren yang muncul dari kegelapan terowong terasa seperti babak dalam filem aksi yang pernah ditonton.
Bagi kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa menaiki LRT sebagai aktiviti hujung minggu, pengalaman itu terpahat kemas dalam ingatan untuk tempoh yang sangat lama walaupun selepas perjalanan tersebut sudah berakhir.
Mod pengangkutan ini sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian yang biasa dan dinaiki oleh golongan pekerja, anak-anak sekolah dan juga pelancong setiap hari.
Bagaimanapun, bagi mereka yang pernah merasai kali pertama menaikinya pada tahun 1998 atau 1999, setiap kali tren bergerak tanpa pemandu, masih terasa jentikan perasaan kecil yang tersisa di hati. Perasaan itu adalah ingatan bahawa pada suatu masa dahulu, teknologi ini pernah dianggap sebagai sebuah keajaiban dan kini walaupun teknologi pengangkutan semakin canggih, tetapi pengalaman yang dialami, akan tetap menggamit memori kita setiap masa.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.