Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja: Apa Yang Perlu Dilakukan

Di Malaysia, majikan bertanggungjawab di bawah Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja.

Gangguan seksual di tempat kerja adalah antara isu yang paling banyak didiamkan dalam kalangan pekerja di Malaysia. Ramai yang tahu ia berlaku, ramai yang pernah melaluinya, tapi ramai juga yang memilih untuk diam atas pelbagai sebab yang boleh difahami, tapi tidak sepatutnya dibiarkan berterusan.

Gangguan seksual di tempat kerja bukan semata-mata sentuhan fizikal yang tidak diingini. Ia merangkumi pelbagai bentuk tingkah laku yang menjejaskan keselesaan dan maruah seseorang pekerja, termasuk lawak lucah yang dilempar secara terbuka, cerita berunsur seksual yang dikongsi tanpa kebenaran, komen tentang penampilan atau badan sebagai “gurau-gurau,” serta mesej atau gambar berunsur lucah yang dihantar melalui platform kerja.

Kenapa ramai yang memilih diam?

Tekanan untuk kekal senyap datang dari pelbagai arah. Ada yang bimbang periuk nasi terjejas jika membuat aduan terhadap senior atau atasan. Ada yang takut tidak dipercayai, atau lebih teruk, dilabel sebagai pekerja yang susah dan tidak boleh menerima “bergurau.” Ada juga yang berasa simpati terhadap pelaku kerana dia berkeluarga, seolah-olah tanggungjawab menjaga keluarga orang lain terletak di bahu mangsa.

Hakikatnya, tingkah laku itu tetap salah tanpa mengira status atau jawatan pelaku.

Apa yang perlu anda lakukan?

Langkah pertama dan paling penting adalah dokumentasi. Catat setiap kejadian dengan teliti, tarikh, masa, tempat, apa yang berlaku, dan siapa yang ada. Jika ada mesej atau gambar yang dihantar melalui platform digital, simpan screenshot tersebut. Dokumentasi yang kukuh adalah asas kepada sebarang aduan yang ingin dibuat.

Seterusnya, kenalpasti saksi. Jika kejadian berlaku di hadapan orang lain, catat nama mereka. Saksi boleh membantu menguatkan aduan dan membuktikan bahawa kejadian itu benar-benar berlaku.

Selepas itu, buat aduan rasmi kepada jabatan Sumber Manusia syarikat. Di Malaysia, majikan bertanggungjawab di bawah Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk menyiasat setiap aduan dengan serius dan saksama. Aduan hendaklah dibuat secara bertulis dan simpan salinan untuk rekod peribadi.

Jika aduan dalaman tidak diambil tindakan atau diabaikan, anda berhak membawa kes tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja atau Tribunal Tuntutan Pekerja. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada organisasi seperti Women’s Aid Organisation (WAO) atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Yang paling penting untuk diingat ,membuat aduan bukan bermakna anda mahu merosakkan kerjaya atau keluarga sesiapa. Ia bermakna anda mempertahankan hak anda untuk bekerja dalam persekitaran yang selamat, profesional, dan bebas dari ancaman atau ketidakselesaan.

Anda tidak perlu tanggung ini sorang-sorang. Dan anda tidak perlu maafkan sesuatu yang tidak patut berlaku dari awal.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.