Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau perlumbaan Dato’ Azizulhasni Awang ada satu benda yang kita dah boleh agak, jangan cepat sangat buat kesimpulan bila nampak dia berada di belakang.
Sebab gap punya jauh pun boleh menang!
Itulah yang sekali lagi dibuktikan Pocket Rocketman apabila beliau merangkul pingat emas acara keirin lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Dan yang paling menarik, kemenangan itu bukan datang kerana Dato’ Azizulhasni terus memecut dari awal.
Sebaliknya, beliau memilih untuk bertenang dan membaca perlumbaan.
Dalam perlumbaan final di Velodrom Izu itu, pelumba China, Li Zhiwei, terlebih dahulu berada di hadapan. Dato’ Azizulhasni pula tidak terburu-buru untuk mengejar dan memilih membina kelajuan secara berperingkat.
Macam tengok cerita yang kita dah tahu hujungnya… tapi tetap berdebar nak tunggu babak terakhir.
Masuk lap terakhir, barulah Pocket Rocketman mula mengeluarkan ‘isi minyak’ yang ada.
Dengan satu henjutan bertenaga di selekoh terakhir, Dato’ Azizulhasni memintas Li Zhiwei dan terus menghayun kayuhan sehingga ke garisan penamat.
Habis cerita. Emas milik Malaysia!
Dato’ mencatat masa 10.330 saat, manakala Li Zhiwei menggenggam perak dan seorang lagi pelumba China, Xie Han, meraih gangsa. Rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan 10.678 saat.
Lebih menarik, Dato’ Azizulhasni sendiri mengakui beliau memang sengaja memberikan sedikit ruang kepada pelumba di hadapan sebelum mengejar secara perlahan-lahan.
Menurutnya, beliau mahu memastikan masa dan pecutannya tepat supaya tiada pelumba lain sempat memintasnya pada saat-saat akhir.
Dan timing itu memang menjadi.
Beliau memintas mereka sehingga ke garisan penamat sebelum mengakui dirinya sangat keletihan selepas perlumbaan.
Yang buat kemenangan ini semakin istimewa, Dato’ Azizulhasni kini berusia 38 tahun dan hanya menjalani latihan bersama pasukan selama kira-kira tiga minggu sebelum Sukan Asia ini. Beliau juga berdepan pelumba yang jauh lebih muda, termasuk Li Zhiwei yang baru berusia 22 tahun.
Lebih manis, ini bukan sekadar satu lagi pingat emas.
Ia merupakan emas Sukan Asia ketiga buat Dato’ Azizulhasni … selepas muncul juara keirin di Guangzhou 2010 dan juara pecut individu di Jakarta 2018.
Jadi selepas 16 tahun daripada emas pertamanya di Sukan Asia, Pocket Rocketman sekali lagi berdiri di podium paling atas.
Dan kemenangan ini juga cukup emosional kerana Aichi-Nagoya 2026 dilaporkan menjadi penampilan terakhir beliau di pentas Sukan Asia. Sepanjang kariernya di temasya itu, Dato’ menutup perjalanan dengan koleksi tiga emas, satu perak dan dua gangsa.
Semalam, mungkin ada yang tengok Dato’ berada di belakang lalu mula berdebar.
Tapi mungkin itulah seni seorang juara.
Dia tak perlu berada di depan sepanjang masa. Dia cuma perlu berada di depan… bila perlumbaan betul-betul berakhir.
Gap punya jauh pun boleh menang.
Memang trademark Dato’!
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.