Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Guna IC Di Stesen Minyak, Jangan Sampai Subsidi Dicuri

Kes pekerja stesen minyak ditahan kerana didakwa mencatat nombor IC pelanggan jadi peringatan agar lebih berhati-hati.

Orang ramai yang menggunakan inisiatif BUDI95 kini diminta supaya lebih berhati-hati ketika membuat urusan di kaunter stesen minyak terutama apabila melibatkan penggunaan kad pengenalan.

Ini susulan tindakan pihak polis yang dilaporkan telah menahan seorang pekerja stesen minyak di kawasan Sepang atas kes pecah amanah melibatkan penyalahgunaan maklumat pelanggan.

Menurut maklumat yang didedahkan, suspek dipercayai mencatat nombor kad pengenalan pelanggan tanpa kebenaran pemilik untuk tujuan mencuri subsidi. Perkara ini menimbulkan kebimbangan kerana ramai pengguna mungkin tidak sedar bahawa maklumat peribadi seperti nombor IC boleh disalahgunakan dengan mudah jika jatuh ke tangan yang salah.

Bila sebut tentang kad pengenalan, ramai mungkin anggap ia perkara biasa. Kita hulur sahaja di kaunter tanpa fikir panjang. Tambahan pula dalam urusan harian seperti isi minyak, semuanya berlaku dengan cepat dan rutin.

Namun dalam dunia hari ini, maklumat peribadi sebenarnya sangat bernilai.

Satu nombor IC mungkin nampak kecil tetapi jika disalah guna, ia boleh membawa pelbagai masalah termasuk penyalahgunaan subsidi, penipuan dan urusan tidak sah atas nama individu lain.

Apa yang lebih membimbangkan, kejadian seperti ini membuatkan orang ramai mula rasa tidak selesa untuk berkongsi maklumat walaupun dalam urusan biasa. Hakikatnya, kebanyakan pelanggan percaya bahawa maklumat mereka dikendalikan secara profesional dan selamat.

Sebab itu, apabila berlaku kes seperti ini, ia sedikit sebanyak menghakis kepercayaan masyarakat.

Pihak berkuasa kini mengingatkan orang ramai supaya lebih peka ketika berurusan di kaunter stesen minyak. Jika perlu menunjukkan kad pengenalan, pastikan ia hanya digunakan untuk tujuan berkaitan dan tidak dicatat sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan kita.

Kadang-kadang kita terlalu cepat menyerahkan dokumen peribadi kerana menyangka semuanya selamat. Sedangkan di sebalik kaunter itu, kita sendiri tidak tahu bagaimana maklumat tersebut dikendalikan.

Dalam era digital sekarang, menjaga data peribadi sama penting seperti menjaga wang sendiri. Maklumat seperti nombor IC, nombor telefon dan butiran akaun boleh menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab jika pengguna terlalu leka.

Kes di Sepang ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak. Bukan untuk hidup dalam ketakutan tetapi supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap keselamatan maklumat sendiri.

Kadang-kadang jenayah bukan lagi berlaku dengan cara kasar atau terang-terangan. Ada yang bermula hanya dengan satu nombor yang dicatat diam-diam di atas sekeping kertas.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.