Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Ibu Bapa Derhaka? Realiti Pahit Yang Ramai Tak Berani Sebut!

Derhaka bukan hanya tentang anak melawan ibu bapa. Kadang-kadang ibu bapa juga gagal menjaga hati dan emosi anak-anak.

Bila sebut tentang derhaka, kebanyakan kita automatik terbayang anak yang melawan cakap mak ayah, meninggikan suara atau mengabaikan kebajikan orang tua. Dari kecil kita dididik supaya jangan jadi anak derhaka kerana balasannya sangat besar, bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Tapi pernah tak kita terfikir… boleh wujudkah “ibu bapa derhaka”?

Jawapannya, ya. Jangan terkejut. Istilah ini mungkin kedengaran janggal kerana masyarakat kita sering meletakkan ibu bapa di tempat yang sentiasa betul. Namun, dalam Islam dan nilai kemanusiaan, hubungan antara ibu bapa dan anak adalah hubungan dua hala yang melibatkan hak dan tanggungjawab yang seimbang.

Luka Yang Datang Dari Rumah

Hakikatnya, ibu bapa juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Derhaka versi ibu bapa ini selalunya berlaku apabila amanah tuhan itu disia-siakan.

Ada ibu bapa yang terlalu keras sehingga anak membesar dalam ketakutan. Ada yang suka membandingkan anak sendiri dengan orang lain setiap hari sehingga si anak rasa dirinya tidak pernah cukup baik. Lebih parah, ada yang memalukan anak di depan orang ramai atau menggunakan kata-kata nista yang meninggalkan luka emosi bertahun-tahun lamanya.

“Kenapa kau tak jadi pandai macam anak jiran sebelah?” atau “Menyesal aku lahirkan kau.”

Ayat-ayat seperti ini mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang tua ketika marah tapi bagi seorang anak, ia adalah racun yang membunuh jati diri mereka.

Pengabaian Emosi: Diberi Makan, Tapi Tak Diberi Kasih

Lebih menyedihkan, ada anak yang membesar tanpa pernah merasa dipeluk, dipuji atau sekadar didengari. Segala keperluan fizikal seperti makanan, pakaian dan duit sekolah semuanya cukup tetapi emosi mereka kosong. Ibu bapa sebegini gagal memberi rasa selamat (psychological safety) dalam rumah sendiri.

Dalam Islam, anak adalah amanah, bukan harta milik yang boleh diperlakukan sesuka hati. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk mendidik dengan kasih sayang, berlaku adil,dan menjaga maruah anak. Apabila tanggungjawab ini sengaja diabaikan, di situlah bibit-bibit kederhakaan ibu bapa bermula.

Muhasabah Sebelum Terlambat

Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya taat kerana takut tetapi kita mahu generasi yang berbakti kerana cinta. Hormat itu perlu dipupuk bukan dipaksa dengan kuasa.

Luka yang paling dalam selalunya bukan datang daripada musuh di luar, tetapi daripada lisan dan sikap orang yang sepatutnya menjadi pelindung utama di rumah. Sebelum kita sibuk menuding jari dan takut anak menjadi derhaka, sesekali ibu bapa juga perlu muhasabah diri.

Adakah kita sudah menjadi tempat berteduh yang selesa buat mereka? Atau adakah kita punca mereka menangis diam-diam setiap malam?

Ingatlah, anak bukan sekadar perlu dibesarkan fizikalnya, mereka juga perlu dijaga hatinya. Kerana amanah ini akan dipersoalkan kembali di hadapan pencipta nanti.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.