Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak tengok bagaimana sesetengah isteri bersungguh-sungguh merancang hari jadi suami, tetapi apabila tiba hari jadinya sendiri, sambutan yang diterima sekadar ala kadar?
Bila hari jadi suami, isteri mula pening kepala memikirkan hadiah apa yang sesuai. Kek kegemaran sudah ditempah, makanan kesukaan sudah dirancang, malah ada yang sanggup berahsia berhari-hari demi memastikan kejutan menjadi.
Belum masuk bab mencari hadiah, membandingkan harga dan memastikan semuanya sempurna. Pendek kata, hari jadi suami boleh jadi satu projek khas yang memerlukan perancangan rapi!
Tetapi apabila tiba hari jadi isteri, ceritanya mungkin berbeza. Ada yang sekadar menerima ucapan ringkas, ada yang terpaksa mengingatkan suami tentang tarikhnya sendiri, malah ada juga yang akhirnya membeli hadiah untuk diri sendiri.
Nak marah, rasa macam perkara kecil. Nak merajuk, takut dikatakan terlalu mengharapkan sesuatu. Sudahnya, isteri memilih untuk diam sambil memujuk hati sendiri.
Benarkah isteri lebih beria-ia meraikan hari jadi pasangan berbanding suami?
Bukan semua pasangan begitu. Ada suami yang sangat romantik dan tidak pernah lupa hari istimewa isterinya. Ada juga yang tidak pandai merancang kejutan tetapi menunjukkan kasih sayang melalui tanggungjawab dan pengorbanan setiap hari.
Namun, bagi sesetengah isteri, persoalannya bukanlah tentang hadiah mahal atau sambutan besar-besaran. Mereka cuma mahu melihat sedikit usaha daripada orang yang paling rapat dengan mereka.
Kadang-kadang, ucapan yang datang tepat pada waktunya pun sudah membuatkan hati berbunga. Apatah lagi jika suami sendiri merancang makan malam, membelikan sekuntum bunga atau membawa isteri keluar tanpa perlu diminta.
Perkara kecil begini mungkin nampak biasa bagi sesetengah orang tetapi besar maknanya kepada pasangan yang selama ini banyak memberi.
Dalam rumah tangga, ada masanya isteri terlalu sibuk memastikan semua orang gembira sehingga terlupa bahawa dirinya juga mahu diraikan.
Hari jadi anak-anak diingati, hari jadi suami dirancang, malah hari istimewa ahli keluarga lain pun cuba disempurnakan. Tetapi apabila tiba giliran sendiri, dia mungkin tidak meminta apa-apa kerana sudah terbiasa mendahulukan orang lain.
Hakikatnya, tidak salah untuk mengharapkan sedikit perhatian daripada pasangan. Mengingati hari jadi bukan ukuran mutlak kasih sayang tetapi usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas boleh membuatkan seseorang rasa dirinya masih penting.
Suami juga mungkin mempunyai cara tersendiri menunjukkan kasih sayang. Sebab itu, komunikasi penting supaya masing-masing memahami apa yang membuatkan pasangan berasa dihargai.
Jangan tunggu sehingga isteri merajuk atau berhenti bersungguh-sungguh barulah mahu bertanya apa yang tidak kena.
Kkadangkala, isteri bukan penat memberi. Dia cuma mahu sesekali merasai bagaimana rasanya apabila orang lain pula bersungguh-sungguh untuk dirinya.
Tak perlu hadiah mahal atau kejutan luar biasa. Cukuplah ada usaha, ingatan dan keikhlasan.
Rumah tangga bukan pertandingan siapa paling banyak berkorban. Tetapi jika selama ini seorang sahaja yang bersungguh-sungguh meraikan, tidak salah untuk seorang lagi mula belajar melakukan perkara yang sama.
Buat para suami, bila kali terakhir anda merancang sesuatu untuk hari jadi isteri tanpa perlu dia memberikan petunjuk?
Dan buat para isteri, adakah anda jenis yang bersungguh-sungguh meraikan hari jadi suami tetapi apabila tiba hari jadi sendiri, anda memilih untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.