Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak kita rasa badan tiba-tiba tak bermaya, hilang semangat nak bekerja atau rasa hidup macam dah hilang arah? Ada juga yang mula perasan perubahan pada diri, termasuk masalah kulit atau kesihatan yang tak kunjung pulih.
Dalam keadaan begini, ada yang terfikir, mungkinkah diri terkena penyakit ain?
Dalam Islam, penyakit ain memang mempunyai asas dalam hadis. Ia dikaitkan dengan pandangan yang disertai rasa kagum atau hasad dengki sehingga boleh mendatangkan kemudaratan dengan izin Allah SWT. Malah, ia tidak semestinya datang daripada orang yang membenci kita. Orang yang menyayangi kita juga boleh menyebabkan ain tanpa disengajakan.
Namun, bukan semua perubahan pada tubuh atau emosi bermaksud seseorang terkena ain. Jerawat, keletihan dan hilang motivasi boleh berlaku atas pelbagai sebab. Jadi, jangan cepat membuat kesimpulan atau hidup dalam ketakutan terhadap pandangan orang lain.
Bila orang puji, jangan lupa kembalikan kepada Allah.
Bayangkan ada orang menegur, “Awak ni makin cantiklah!” atau “Wah, rezeki awak murah sekarang!”
Kita boleh menerima pujian itu dengan rasa syukur, sambil mengingati bahawa segala nikmat datang daripada Allah SWT. Antara ungkapan yang boleh disebut ialah Masya-Allah dan Alhamdulillah.
Bagi orang yang memuji pula, eloklah mendoakan keberkatan buat orang yang dikagumi, bukannya sekadar memuji. Ini satu cara untuk membiasakan hati agar sentiasa mengingati Allah ketika melihat nikmat yang ada pada orang lain.
Begitu juga apabila berhadapan dengan orang yang mungkin menyimpan hasad atau kebencian. Kita tidak perlu menuduh sesiapa atau membalas keburukan dengan keburukan. Sebaliknya, jagalah hati dan mohon perlindungan daripada Allah.
Bagaimana pula jika pujian atau hasad itu berlaku di belakang kita, tanpa kita sedari?
Antara ikhtiar yang boleh dilakukan ialah membaca doa perlindungan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Doa ini turut diriwayatkan sebagai doa yang Baginda gunakan untuk melindungi cucunya, Hasan dan Husain.
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
Rumi:
A‘ūdzu bi kalimātillāhit-tāmmati min kulli syaitānin wa hāmmah, wa min kulli ‘ainin lāmmah.
Maksud:
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan setiap pandangan mata yang membawa kemudaratan.”
Doa ini diriwayatkan dalam hadis sahih dan boleh diamalkan sebagai ikhtiar memohon perlindungan Allah SWT. Kita juga boleh mengamalkan Surah al-Falaq dan Surah al-Nas sebagai sebahagian daripada amalan perlindungan diri.
Jangan takut kepada manusia, kuatkan pergantungan kepada Allah.
Hakikatnya, kita tidak mampu mengawal apa yang orang lain fikirkan, ucapkan atau rasakan terhadap kita. Namun, kita boleh menjaga hati sendiri, mensyukuri nikmat dan membiasakan diri berdoa memohon perlindungan Allah.
Pada masa yang sama, jika mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan, dapatkan pemeriksaan doktor dan jangan abaikan rawatan yang diperlukan.
Berikhtiar itu penting tetapi jangan sampai ketakutan terhadap ain membuatkan kita mencurigai setiap orang yang memuji atau tidak menyukai kita.
Nikmat yang kita miliki bukan untuk ditakuti tetapi untuk disyukuri. Dan dalam setiap keadaan, tempat kita memohon perlindungan tetaplah Allah SWT.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.