Dengar playlist penuh di sini
.
Baru-baru ini media sosial kecoh dengan isu pasal seorang pemuda minta bakal pasangan sediakan bekal cekodok untuknya. Permintaan yang nampak simple ni tiba-tiba jadi bahan perbincangan besar bila ramai netizen wanita bersuara lantang, ada yang sampai gunakan frasa belum putus susu tak payah kahwin sebagai reaksi. Dari satu request kecil, ia berkembang jadi perbincangan besar tentang jangkaan dalam perkahwinan, peranan gender, dan sejauh mana permintaan kecil sepatutnya dilayan atau dipertikaikan.
Sesetengah menganggap permintaan sediakan cekodok dianggap sebagai perkara kecil yang tak sepatutnya jadi isu besar. Dalam hubungan yang dibina atas kasih sayang, buat sesuatu yang kecil untuk pasangan, walaupun nampak remeh macam masak cekodok, dianggap sebahagian daripada ekspresi cinta dan keakraban dalam rumah tangga. Golongan ini berpendapat, kalau isteri buat dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang, ia bukan beban, malah jadi cara suami dan isteri saling memberi dalam bentuk kecil yang bermakna.
Tapi ada juga wanita yang triggered, ramai yang risau, permintaan kecil macam ni kalau tak dibincang dengan baik, boleh jadi permulaan kepada budaya mengharap terlalu banyak daripada isteri tanpa menghargai usaha atau tanpa sebarang bentuk timbal balik. Mereka menganggap sesetengah lelaki meletakkan pelbagai jangkaan kepada bakal isteri sebelum kahwin lagi, sedangkan tanggungjawab dan usaha dari pihak lelaki sendiri kadang tak disebut sama sekali.
Kefahaman bahawa dua-dua pihak sebenarnya betul dalam konteks masing-masing. Memang benar, dalam perkahwinan yang penuh kasih sayang, buat sesuatu kecil untuk pasangan bukan sesuatu yang patut dipertikaikan, dan wanita juga elok belajar untuk tak terus melenting pada setiap permintaan kecil yang sebenarnya boleh dilayan dengan hati terbuka.
Lagipun wanita juga berhak ada senarai kriteria dan jangkaan sendiri terhadap bakal suami, sama macam lelaki berhak nyatakan apa yang dia harapkan daripada bakal isteri. Kalau seorang wanita rasa satu permintaan tu tak sesuai dengan nilai atau jangkaan dia dalam perkahwinan, dia berhak untuk tak setuju dan cari calon lain yang lebih sepadan dengan apa yang dia mahukan, tanpa perlu rasa bersalah kerana terlalu memilih. Sama juga sebaliknya, kalau lelaki rasa jangkaan wanita terlalu tinggi atau tak realistik, dia juga berhak mencari yang lebih sesuai untuknya. Ini bukan soal siapa lebih betul, tapi soal padanan nilai yang perlu dicari sebelum membuat keputusan besar untuk berkahwin.
Yang lebih penting daripada sekadar setuju atau tidak dengan satu permintaan, adalah bagaimana kedua-dua pihak berkomunikasi tentang jangkaan masing-masing sebelum melangkah ke jenjang perkahwinan. Lelaki yang matang akan cuba fahami sebab di sebalik keberatan pasangannya, bukan terus label wanita tu terlalu memilih atau tak matang. Wanita yang bijak pula akan cuba nilai dengan tenang, adakah permintaan tu benar-benar tak munasabah, atau ia sekadar cara pasangan meluahkan apa yang dia sukai dan hargai dalam sebuah hubungan.
Isu cekodok ni sebenarnya bukan tentang cekodok semata-mata, ia mencerminkan perbualan lebih besar tentang bagaimana lelaki dan wanita zaman sekarang cuba menyeimbangkan antara jangkaan peribadi dengan realiti sebuah perkongsian hidup. Bukan semua permintaan kecil bermakna sesuatu yang buruk, dan bukan semua reaksi kuat bermakna seseorang tu terlalu sensitif, kadang ia cuma cara berbeza orang memahami apa erti memberi dan menerima dalam sebuah hubungan yang bakal dibina bersama. Well, if he is not your type just step back, carilah yang tak suka isteri masak. Life is simple, kita suka kita ambil, tak suka kita bagi orang lain yang suka, betul tak?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.