Dengar playlist penuh di sini
.

Dulu, kalau kita duduk di rumah, ada sahaja benda yang hendak dibuat.
Berkebun. Menjahit. Memasak. Membaca. Mengaji. Menyusun rumah. Kadang-kadang sekadar duduk di beranda sambil berbual dengan jiran pun sudah cukup mengisi masa.
Hari ini?
Telefon.
Bangun tidur cari telefon. Makan sambil tengok telefon. Rehat sambil scroll TikTok. Sebelum tidur pula, katanya nak tengok sekejap.
Sekejap itu boleh jadi sejam.
Kajian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memang menunjukkan bahawa penggunaan telefon pintar secara bermasalah mempunyai kaitan dengan masalah psikososial. Penyelidik juga memberi perhatian kepada bagaimana penggunaan teknologi yang berlebihan boleh menjejaskan emosi, fokus dan kesejahteraan seseorang.
Sebab itu hari ini muncul istilah seperti “kemurungan digital” untuk menggambarkan keadaan apabila dunia digital mula mengambil terlalu banyak ruang dalam kehidupan kita.
Antara perkara yang patut kita perhatikan ialah apabila kita mula hilang minat terhadap perkara lain yang dahulunya kita suka.
Dulu tanam pokok, kita jaga sampai berbunga.
Sekarang tanam pokok, lupa siram sebab sibuk scroll.
Dulu rajin masak macam-macam.
Sekarang masa yang sepatutnya digunakan untuk memasak, membaca, berkebun atau melakukan hobi lain mungkin lebih banyak dihabiskan melihat orang lain melakukannya di TikTok.
Dulu ada hobi.
Sekarang telefon itu sendiri sudah menjadi hobi.
TikTok. Shopee. Facebook. Instagram. Ulang semula.
Dan yang paling kita tidak sedar, telefon yang sepatutnya menjadi alat untuk memudahkan hidup akhirnya mula mengambil alih hidup kita.
Sampai hubungan suami isteri pun boleh terganggu.
Suami sudah mengantuk.
“Tidurlah.”
“Jap lagi…”
Lima belas minit kemudian masih scroll.
“Dah lewat ni.”
“Jap lagi…”
Akhirnya tidur lewat, esok bangun tak larat dan sepanjang hari pula penat.
Bukan telefon itu yang salah.
Masalahnya apabila kita sudah tidak tahu bila hendak meletakkannya.
Perubahan zaman memang tidak dapat dielakkan. Generasi terdahulu tidak membesar dengan telefon pintar. Mereka mengisi masa dengan apa yang ada di sekeliling mereka.
Kita pula hidup dalam zaman yang setiap saat ada sesuatu untuk dilihat, dibeli, ditonton dan dikomen.
Dan perkara ini bukan masalah satu golongan sahaja.
Kanak-kanak, remaja, ibu, ayah, suami, isteri … hampir semua orang boleh terperangkap dalam dunia digital.
Sebab itu mungkin sudah tiba masa kita tanya diri sendiri:
Kalau telefon kita hilang hari ini, apa yang masih kita tahu hendak buat?
Masihkah kita ada hobi?
Masihkah kita boleh duduk tanpa skrin?
Masihkah kita boleh menikmati secawan kopi tanpa perlu membuka TikTok?
Masihkah kita boleh berbual dengan pasangan tanpa telefon di tangan?
Kemurungan dan masalah kesihatan mental bukan perkara yang boleh kita diagnosis sendiri hanya kerana kita banyak menggunakan telefon. Tetapi penggunaan digital yang berlebihan dan bermasalah memang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan psikologi dan kehidupan seharian.
Jadi mungkin kita tidak perlu buang telefon.
Kita cuma perlu pastikan telefon tidak mengambil tempat kehidupan sebenar.
Sebab hidup yang penuh dengan skrin belum tentu hidup yang penuh dengan kebahagiaan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.