Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Kenapa Ada Ibu bapa Sanggup Berkasar Dengan Anak Sendiri?

Pengalaman sebegitu boleh menjejaskan rasa selamat, keyakinan diri dan cara anak membina hubungan apabila membesar.

Kadang-kadang, kita tengok video ibu bapa menengking, mengherdik atau bertindak kasar terhadap anak kecil, lalu kita tertanya-tanya, apa sebenarnya dalam fikiran mereka?

Adakah mereka terlalu penat? Terlalu tertekan? Atau mungkin mereka sendiri membesar dalam persekitaran yang mengajar bahawa kekerasan ialah cara mendidik anak?

Kita tak boleh menafikan bahawa menjadi ibu bapa bukan mudah. Ada yang bekerja seharian, pulang ke rumah masih perlu menguruskan anak, memasak, mengemas dan menyelesaikan pelbagai tanggungjawab. Ada juga yang membesarkan anak tanpa bantuan pasangan atau keluarga. Keletihan fizikal dan tekanan emosi boleh menyebabkan seseorang hilang kesabaran.

Tetapi dalam memahami kepenatan ibu bapa, kita jangan sampai terlupa bahawa anak kecil juga mempunyai emosi, walaupun mereka belum pandai menjelaskan apa yang dirasai.

Anak yang menangis mungkin belum mampu memberitahu bahawa dia takut, lapar, kecewa atau cuma mahukan perhatian. Anak yang mengamuk mungkin belum mempunyai kemahiran untuk mengawal emosinya. Mereka masih belajar memahami dunia, termasuk bagaimana hendak menguruskan perasaan sendiri.

Apabila mereka dibalas dengan jeritan, penghinaan atau kekerasan, mereka mungkin berhenti menangis. Namun, diam tidak semestinya bermakna mereka sudah faham atau belajar. Anak kecil ni “helpless”, mereka takut untuk menunjukkan perasaan, belum tahu cara minta bantuan, maka mereka seakan terpaksa terima apa jua keadaan.

Lebih membimbangkan apabila kekasaran berlaku berulang kali. Pengalaman sebegitu boleh menjejaskan rasa selamat, keyakinan diri dan cara anak membina hubungan apabila membesar. Mereka mungkin belajar bahawa orang yang menyayangi mereka juga boleh menjadi orang yang paling menakutkan.

Kita juga perlu sedar bahawa sesetengah ibu bapa mungkin mengulangi cara mereka dibesarkan dahulu. Mereka menganggap tengkingan dan pukulan sebagai perkara biasa kerana itulah yang mereka kenal sejak kecil. Tetapi pengalaman silam tidak semestinya perlu diwariskan kepada generasi seterusnya.

Ibu bapa juga manusia. Mereka boleh penat, kecewa dan melakukan kesilapan. Mereka berhak mendapatkan sokongan, berehat dan meminta pertolongan. Namun, tekanan bukan alasan untuk mencederakan anak. Jika terasa hampir hilang kawalan, letakkan anak di tempat yang selamat, jauhkan diri seketika dan dapatkan bantuan orang yang dipercayai.

Mendidik anak bukan bermaksud kita perlu sentiasa sempurna. Jika terlanjur menengking, akui kesilapan, minta maaf dan belajar menguruskan emosi dengan lebih baik. Jika kekasaran sudah menjadi kebiasaan, bantuan profesional mungkin diperlukan.

Kita sebagai ibu bapa sudah dewasa dan mampu memahami masalah sendiri, tapi anak kecil masih bergantung kepada orang dewasa untuk berasa selamat.

Jadi, apabila ibu bapa terlalu penat untuk bersabar, siapa yang akan menjaga emosi anak yang belum mampu menjaga dirinya sendiri?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.