Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Saranan Kerajaan Delete Waze, Abang² Kakak² Riders Okey Ke?

Bila Waze jadi teman mencari rezeki setiap hari, sejauh mana mudahnya rider beralih kepada aplikasi navigasi lain?

Cuba bayangkan tengah hari panas terik, pesanan pelanggan masuk tak putus-putus. Ada yang nak makanan segera, ada yang tunggu barang sampai, malah ada pelanggan yang dah mula bertanya, “Abang, dah sampai mana?”

Dalam keadaan macam ni, Waze bukan sekadar aplikasi dalam telefon. Bagi ramai rider penghantaran makanan dan barang, itulah antara teman penting untuk mencari alamat, mengelak kesesakan dan menganggarkan masa perjalanan.

Sebab itu, apabila kerajaan menyarankan rakyat Malaysia berhenti menggunakan Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, mungkin ada satu golongan yang terus terfikir, “Kalau tak guna Waze, macam mana pula nak buat kerja?”

Sebagai rekod, kerajaan mengambil langkah menghentikan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi atas kebimbangan berkaitan keselamatan data dan bidang kuasa undang-undang Israel.

Orang ramai pula disarankan mempertimbangkan aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Namun, saranan ini bukan bermaksud semua rakyat sudah diwajibkan memadam Waze. Kerajaan juga sedang menilai kemungkinan larangan lebih menyeluruh pada masa hadapan.

Persoalannya, bagi rider yang keluar bekerja setiap hari, pertukaran aplikasi bukan semestinya semudah memadam satu ikon dan memuat turun aplikasi lain.

Mereka perlukan navigasi yang tepat, maklumat trafik yang boleh dipercayai dan panduan ke lokasi pelanggan, termasuk alamat di kawasan perumahan yang kadangkala masuk ke lorong kecil atau jalan yang jarang dilalui.

Kalau tersalah simpang, masa bertambah. Kalau tersesat, minyak pun bertambah. Masa penghantaran pula boleh terjejas.

Akhirnya, perkara yang nampak kecil bagi sesetengah orang mungkin memberi kesan kepada pendapatan mereka.

Sebenarnya, usaha memperkukuh keselamatan data negara memang perkara yang wajar diberi perhatian. Pada masa sama, keperluan golongan yang bergantung pada aplikasi navigasi untuk mencari rezeki juga tidak boleh dipandang ringan.

Kalau aplikasi tempatan mahu menjadi pilihan utama, pastinya ramai berharap ia mampu memberikan pengalaman yang setanding, terutama dari segi ketepatan lokasi, keadaan trafik dan kemudahan mencari alamat.

Bagi rider, aplikasi yang bagus bukan sekadar boleh menunjukkan jalan dari A ke B. Ia perlu membantu mereka sampai ke destinasi dengan selamat, tepat dan tanpa membuang terlalu banyak masa.

Kita tak boleh salahkan rider kalau mereka risau tentang perubahan ini. Mereka bukan sekadar memilih aplikasi kegemaran tetapi sedang memikirkan kelangsungan kerja harian.

Apa pun, isu ini membuka ruang untuk kita melihat dua perkara serentak iaitu kepentingan melindungi data negara dan keperluan memastikan teknologi yang digunakan rakyat benar-benar berfungsi.

Di sebalik setiap penghantaran yang sampai ke depan pintu rumah, ada orang yang sedang berusaha mencari rezeki.

Jadi, abang-abang dan kakak-kakak riders, kalau satu hari nanti perlu beralih daripada Waze kepada aplikasi lain, apa yang paling korang risaukan? Ketepatan lokasi, trafik atau takut pelanggan pula yang naik angin sebab lambat sampai?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.