Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau seseorang suami atau isteri mencari kepuasan seksual melalui dunia online tanpa pernah berjumpa, tanpa pernah menyentuh tubuh orang lain … adakah itu masih boleh dipanggil curang?
Ramai mungkin akan jawab, “Tak adalah curang. Bukannya dia ada buat apa-apa secara fizikal kan..”
Tapi cuba renung balik dan fikir semula.
Kalau pasangan sendiri tak tahu apa yang kita buat di sebalik skrin, kita rasa perlu sembunyikan, padam sejarah, guna akaun rahsia atau hanya melakukannya ketika pasangan tiada… kenapa kita rasa ia perlu disorok?
Curang bukan semestinya bermula dengan sentuhan.
Ada yang bermula dengan pandangan. Ada yang bermula dengan perbualan. Ada yang bermula dengan fantasi yang dilayan berulang kali sehingga hati mula mencari kepuasan daripada orang selain pasangan.
Lebih-lebih lagi apabila kandungan atau interaksi seksual itu dilakukan secara sengaja untuk mendapatkan rangsangan dan kepuasan. Bukan sekadar terlihat secara tidak sengaja, tetapi sengaja dicari dan diulang kerana tahu ia memberikan keseronokan.
Memang tiada sentuhan fizikal. Tetapi ada penglibatan emosi, nafsu dan pilihan yang dibuat secara sedar.
Dalam perkahwinan, persoalannya bukan sekadar, “Aku ada sentuh dia ke tak?”
Tetapi juga, “Adakah perkara ini sesuatu yang aku sanggup lakukan kalau pasangan aku sedang duduk di sebelah?”
Kalau jawapannya tidak, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bermain dengan istilah “tak curang sebab tak sentuh.”
Dari sudut agama pula, bukan semua perkara yang berlaku di alam maya menjadi halal hanya kerana ia tidak melibatkan sentuhan fizikal. Menjaga pandangan, maruah dan batas seksual tetap mempunyai tempat dalam kehidupan seorang Muslim.
Dan jangan tunggu sampai pasangan jumpa bukti baru kita mengaku ia salah.
Sebab dalam rumah tangga, kepercayaan boleh pecah bukan hanya kerana tubuh diberikan kepada orang lain.
Kadang-kadang, hati dan nafsu sudah lama diberikan kepada tempat yang bukan haknya.
Jadi pada anda, kepuasan seksual secara online tanpa sentuhan fizikal … sekadar “bukan curang” atau sebenarnya satu bentuk pengkhianatan dalam perkahwinan?
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.