Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Mahsuri: Fitnah, Darah Putih & Sumpahan, Masih Menghantui?

Kemunduran Langkawi suatu ketika dahulu dikaitkan dengan sumpahan Mahsuri dan kebangkitan semula pulau itu berlaku selepas 7 keturunan berlalu.

Nama Mahsuri bukan sekadar kisah dongeng untuk menakutkan anak kecil atau cerita orang lama di kampung. Ia sudah menjadi sebahagian daripada identiti Langkawi. Diceritakan turun-temurun malah dijadikan tarikan pelancongan. Tapi persoalannya sejauh mana kisah Mahsuri ini benar?

Menurut cerita yang paling popular, Mahsuri ialah seorang wanita yang sangat cantik, berkahwin dengan seorang pahlawan bernama Wan Darus. Ketika suaminya keluar berperang, Mahsuri difitnah berlaku curang dengan lelaki lain. Tanpa bukti kukuh, masyarakat ketika itu menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Kononnya, sebelum menghembuskan nafas terakhir, darah Mahsuri yang keluar berwarna putih adalah tanda dia tidak bersalah. Dalam keadaan teraniaya itu, dia dikatakan menyumpah Langkawi menjadi “padang jarak padang tekukur” selama tujuh keturunan.

Cerita ini sangat kuat dalam budaya masyarakat. Malah ada yang percaya kemunduran Langkawi suatu ketika dahulu dikaitkan dengan sumpahan tersebut dan kebangkitan semula pulau itu berlaku selepas tujuh keturunan berlalu.

Namun, bila kita lihat dari sudut sejarah yang lebih kritikal, tiada bukti bertulis yang benar-benar kukuh untuk mengesahkan keseluruhan kisah ini. Banyak sumber hanyalah cerita lisan (oral tradition) yang disampaikan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Dalam dunia sejarah, cerita seperti ini mudah berubah kerama ditambah, dikurang atau disesuaikan mengikut zaman.

Ada juga pandangan yang mengatakan kisah Mahsuri mungkin berasaskan peristiwa sebenar iaitu wujudnya seorang wanita yang difitnah dan dihukum secara tidak adil. Tetapi elemen-elemen dramatik seperti darah putih dan sumpahan tujuh keturunan mungkin ditokok tambah untuk memberi kesan emosi dan pengajaran kepada masyarakat.

Di sinilah pentingnya kita bezakan antara “sejarah” dan “lagenda”. Sejarah bergantung pada bukti dan rekod yang boleh disahkan. Lagenda pula membawa nilai, pengajaran, dan identiti budaya walaupun tidak semuanya dapat dibuktikan secara fakta.

Walaupun begitu, tidak bermakna kisah Mahsuri tiada nilai. Sebaliknya, ia sarat dengan pengajaran tentang bahaya fitnah, kezaliman akibat menghukum tanpa usul periksa dan bagaimana masyarakat boleh tersilap apabila emosi mengatasi keadilan.

Fitnah yang dikenakan kepada Mahsuri menjadi simbol betapa dahsyatnya kesan tuduhan tanpa bukti. Ia bukan sahaja merosakkan individu tetapi boleh meninggalkan kesan besar kepada seluruh komuniti.

Akhirnya, sama ada kisah Mahsuri ini benar sepenuhnya atau tidak, mungkin bukan itu yang paling penting.

Yang lebih penting adalah apa yang kita belajar daripadanya.

Kerana dalam dunia hari ini, “Mahsuri” masih wujud.
Bukan dalam bentuk lagenda tetapi secara realiti apabila ada orang yang dihukum oleh masyarakat hanya berdasarkan cerita tanpa diberi peluang untuk membela diri. Dan bezanya, kali ini…
kita tak boleh salahkan sumpahan.
Kita hanya boleh salahkan diri kita sendiri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.