Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

“Teamwork” Suami Isteri: Pahala Bersama Walau Berbeza Tempat

Isteri yang reda, yang tidak merungut, yang memahami keutamaan suami dalam menunaikan solat berjemaah, dia sebenarnya berkongsi ganjaran tersebut.

Ramai yang rasa, bila suami melangkah ke masjid untuk solat berjemaah, dialah yang lebih dari segi ganjaran. Isteri pula di rumah yang jaga anak, siapkan makan, uruskan hal rumah kadang rasa seperti tertinggal dalam mengejar pahala. Tapi hakikatnya, dalam Islam, ganjaran itu bukan semata-mata pada tempat kita berdiri tapi pada peranan yang kita jalankan dengan ikhlas.

Suami yang keluar ke masjid untuk solat berjemaah memang mendapat kelebihan besar. Setiap langkahnya ke masjid dikira pahala, setiap saat menunggu solat juga ibadah. Itu janji Allah yang jelas. Tapi dalam masa yang sama, jangan kita lupa isteri yang “membenarkan” suami itu keluar, yang meredakan urusan rumah tangga, yang menjaga amanah di rumah, dia pun sedang beribadah.

Bayangkan situasi ini. Suami tenang melangkah ke masjid kerana dia tahu anak-anak di rumah terjaga, makan minum diuruskan, rumah dalam keadaan selamat. Siapa yang beri ruang itu? Siapa yang “menyokong” secara diam? Isteri. Tanpa sokongan itu, mungkin suami pun tidak dapat pergi dengan tenang.

Dalam Islam, konsep pahala itu luas. Ia bukan hanya pada siapa yang nampak melakukan ibadah,tetapi juga pada siapa yang membantu terlaksananya ibadah itu. Isteri yang reda, yang tidak merungut, yang memahami keutamaan suami dalam menunaikan solat berjemaah, dia sebenarnya berkongsi ganjaran tersebut.

Namun ini bukan tiket untuk suami lepas tangan. Jangan pula faham bahawa “aku pergi masjid, isteri kat rumah pun dapat pahala, jadi tak apa kalau aku abaikan tanggungjawab.” Itu salah. Islam tidak pernah mengangkat satu pihak dengan menjatuhkan pihak yang lain. Suami tetap wajib memastikan keperluan isteri dan keluarga terjaga. Kalau isteri terpaksa menanggung segalanya sendirian sampai terbeban, di mana letaknya keadilan?

Begitu juga isteri, jangan rasa diri “kurang” hanya kerana tidak ke masjid. Kadang-kadang, pahala yang kita dapat di rumah itu lebih besar kerana ia datang bersama pengorbanan yang tidak dilihat orang. Menahan penat, menjaga anak kecil, bangun malam, semua itu jika diniatkan kerana Allah, nilainya sangat tinggi.

Hakikatnya, rumah tangga itu adalah ‘teamwork’. Bila suami melangkah ke masjid dan isteri menjaga rumah dengan penuh amanah, kedua-duanya sedang menuju kepada Allah dengan cara masing-masing. Tidak perlu bersaing, tidak perlu rasa siapa lebih hebat.

Akhirnya, yang membezakan bukan lokasi sama ada masjid atau rumah tetapi keikhlasan hati.

Kalau suami ikhlas melangkah ke masjid dan isteri ikhlas meredakan serta menyokong dari rumah, maka pahala itu bukan milik seorang tetapi dikongsi bersama.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.