Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Mak ‘Cover Line’ Anak Bercinta, Siapa Sebenarnya Dilindungi?

Bila anak remaja mula bercinta terlalu awal, mak serba salah antara menjaga kepercayaan anak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Concerned African American teenage girl in white outfit looking at camera while covering mouth with hand on gray background in studio

Bayangkan seorang anak remaja datang kepada mak dan mengaku dia sudah ada kekasih.

Masalahnya, anak itu masih terlalu muda untuk hubungan seperti itu. Mak sendiri tahu perkara tersebut belum sesuai dengan usia anak, tetapi memilih untuk diam.

Bukan sebab mak setuju.

Cuma mak takut kalau ayah tahu, ayah akan mengamuk.

Jadi rahsia itu disimpan daripada pengetahuan ayah.

Persoalannya, dalam keadaan begini, siapa sebenarnya yang sedang dilindungi?

Mungkin pada awalnya mak cuma mahu melindungi anak daripada dimarahi. Mak takut anak dimarah, telefon dirampas atau hubungan antara anak dan ayah menjadi semakin renggang.

Tambahan pula, anak sudah memilih untuk bercerita kepada mak. Mungkin mak rasa kalau rahsia itu dibocorkan, selepas ini anak tidak akan percaya atau berkongsi apa-apa lagi.

Perasaan itu boleh difahami.

Tetapi ada satu perkara yang perlu difikirkan juga.

Apabila mak sengaja menjadi “cover line” supaya ayah tidak tahu, anak mungkin belajar satu perkara yang tidak sepatutnya iaitu selagi mak tahu dan mak diam, semuanya boleh diteruskan.

Di sinilah niat melindungi boleh tanpa sedar bertukar menjadi membenarkan.

Mak mungkin tidak menyokong hubungan itu tetapi tindakannya menyembunyikan perkara tersebut boleh membuatkan anak rasa dia mempunyai ruang untuk meneruskannya.

Sedangkan anak yang masih muda sebenarnya memerlukan batas.

Bukan sekadar dimarah atau dilarang tetapi perlu diterangkan kenapa hubungan seperti itu belum sesuai, bagaimana hendak mengurus perasaan dan kenapa tidak semua perasaan perlu terus diterjemahkan kepada sebuah hubungan.

Namun begitu, kalau ayah memang jenis mudah mengamuk, penyelesaiannya juga bukan semestinya mak terus pergi membuka rahsia itu tanpa memikirkan kesannya.

Marah kerana tidak bersetuju adalah satu perkara. Mengugut, memukul atau bertindak ganas pula perkara lain.

Kalau ada risiko keselamatan, ibu perlu lebih berhati-hati dalam menentukan bagaimana perkara itu dibincangkan.

Tetapi dalam keluarga yang selamat, ibu dan ayah sepatutnya berada dalam pasukan yang sama.

Anak mungkin perlukan mak sebagai tempat untuk mengaku kesilapan tanpa takut terus dihukum. Tetapi itu tidak bermaksud mak perlu menjadi orang yang membantu menutup kesalahan tersebut.

Mak boleh jadi tempat anak berlindung tanpa menjadi tempat anak bersembunyi.

Mungkin itulah garis yang paling sukar untuk seorang ibu tentukan.

Sebab kasih sayang kepada anak bukan bermaksud kita melindungi mereka daripada setiap akibat.

Kadang-kadang, kasih sayang juga bermaksud kita berani berkata, “Mak faham perasaan kamu. Tapi benda ini belum sesuai untuk kamu.”

Dan kalau perlu beritahu ayah, carilah cara dan masa yang paling baik.

Bukan untuk memalukan anak.

Anak kena tahu bahawa dalam keluarga, rahsia mungkin boleh disimpan seketika untuk mencari jalan yang terbaik tetapi bukan untuk membolehkan sesuatu yang belum sesuai terus berjalan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.