Dengar playlist penuh di sini
.
Setiap kali hujan lebat dan guruh berdentum kilat bukan lagi perkara luar biasa bagi rakyat Malaysia. Malah ada satu fakta yang mungkin ramai tidak sedar. Malaysia bukan sahaja sering disenaraikan antara negara dengan kejadian kilat paling tinggi di dunia malah pernah dilaporkan berada di kedudukan ketiga tertinggi berdasarkan purata sambaran kilat tahunan.
Ini bukan kebetulan tetapi Ia berkait rapat dengan lokasi geografi dan corak iklim negara kita.
Malaysia terletak berhampiran garisan Khatulistiwa. Kawasan ini menerima sinaran matahari yang tinggi sepanjang tahun menyebabkan udara panas dan lembap sentiasa naik ke atmosfera. Apabila udara panas bertemu udara sejuk di lapisan atas, awan ribut (cumulonimbus) terbentuk dan di situlah kilat bermula.
Gabungan suhu panas, kelembapan tinggi dan hujan lebat menjadikan Malaysia sebagai ‘kilang’ ribut petir semula jadi. Tidak hairanlah negara ini mengalami ribut petir hampir sepanjang tahun bukan bermusim seperti di negara empat musim.
Kajian meteorologi menunjukkan Malaysia boleh mengalami ratusan ribu hingga jutaan sambaran kilat setiap tahun terutama di kawasan berpenduduk padat seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Kawasan bandar pula lebih terdedah kerana bangunan tinggi, struktur logam dan aktiviti manusia yang padat.

Lebih membimbangkan, Malaysia juga mencatat antara kadar kematian akibat sambaran kilat yang tinggi di Asia Tenggara terutamanya melibatkan pekerja luar, petani, nelayan dan individu yang berlindung di tempat tidak selamat semasa ribut.
Ramai menganggap kilat sekadar fenomena alam yang menarik untuk dirakam. Hakikatnya satu sambaran kilat boleh membawa voltan mencecah ratusan juta volt dan suhu lebih panas daripada permukaan matahari.
Kesan kilat bukan sahaja menyebabkan kecederaan dan kematian tetapi juga kerosakan harta benda, kebakaran, gangguan bekalan elektrik serta kerosakan peralatan elektronik. Setiap kali ribut petir besar, kerugian ekonomi yang ditanggung bukan kecil.
Walaupun kerap berlaku, kesedaran tentang bahaya kilat masih rendah. Masih ramai yang berlindung di bawah pokok, berada di kawasan terbuka, atau terus menggunakan telefon dan peralatan elektrik ketika ribut petir.
Ada juga yang menganggap amaran ribut petir sebagai perkara remeh. Sedangkan di negara dengan kadar kilat tinggi seperti Malaysia, sikap sambil lewa ini boleh membawa padah.
Langkah pencegahan sebenarnya mudah tetapi sering diabaikan. Elakkan berada di kawasan terbuka semasa ribut, jauhi pokok tinggi dan struktur logam dan berlindung di bangunan kukuh atau kenderaan bertutup. Di rumah, cabut palam (plug) peralatan elektrik ketika ribut kuat bagi mengelakkan kerosakan akibat lonjakan arus.
Pihak berkuasa pula perlu terus memperkukuh sistem amaran awal dan pendidikan awam terutama di sekolah dan tempat kerja berisiko tinggi.
Malaysia bukan sekadar negara hujan dan panas. Ia juga antara negara paling aktif dengan ribut petir dan kilat. Fakta ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa kilat bukan perkara biasa yang boleh dipandang ringan. Dengan kesedaran, pendidikan dan langkah berjaga-jaga, banyak nyawa dan harta benda sebenarnya boleh diselamatkan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.