Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Penangan Psikologi Narsisis, Mangsa Tak Sedar Mental Koyak

Ramai mangsa tak sedar mereka sedang dimanipulasi oleh si narsisis. Mangsa sering tertanya, “Aku ke yang sensitif? Aku yang salah ke?”

Pernah tak jumpa seseorang yang pada awalnya nampak sangat yakin, petah bercakap dan selalu tahu apa yang dia buat? Orang lain kagum malah ada yang rasa bertuah dapat berkawan atau bekerja dengan si narsisis. Tapi lama-kelamaan, anda mula rasa letih… keliru… dan diam-diam rasa diri sendiri makin kecil.

Kalau ya, besar kemungkinan anda sedang berurusan dengan seorang narsisis.

Narsisis bukan sekadar orang yang yakin diri. Mereka bukan cuma suka bergambar, suka dipuji atau suka bercakap tentang kejayaan sendiri. Narsisis ialah individu yang hidupnya dalam dunianya sendiri dan tanpa sedar, mereka menyedut emosi, keyakinan dan tenaga orang di sekeliling.

Apa sebenarnya narsisis?

Narsisis ialah corak personaliti seseorang yang terlalu memerlukan perhatian, pengiktirafan dan rasa “aku lebih penting daripada orang lain”. Mereka sukar menerima kritikan walaupun disampaikan dengan cara yang lembut. Bila ditegur, mereka bukan bermuhasabah tapi mereka menyerang, memutar belit cerita atau memainkan peranan sebagai mangsa.

Paling berbahaya, narsisis tiada empati. Mereka mungkin nampak prihatin di luar tapi dalam hati, perasaan orang lain jarang benar diambil kira. Yang penting ego mereka dijaga, imej mereka kekal sempurna.

Ciri-ciri narsisis yang ramai terlepas pandang

Mereka pandai memikat pada awalnya, kelihatan manis dan penuh keyakinan. Tapi selepas itu corak sebenar mula muncul:

  • Sentiasa mahu dipuji dan recognized
  • Menyalahkan orang lain bila berlaku masalah
  • Memanipulasi emosi untuk dapat apa yang mereka mahu
  • Merendahkan orang lain secara halus atau terbuka
  • Cepat marah bila perhatian tidak tertumpu pada mereka

Ramai terperangkap kerana mereka pandai bermain psikologi. Mangsa sering tertanya, “Aku yang sensitif ke? Aku yang salah ke?”

Kesan narsisis pada mangsa

Berurusan dengan narsisis bukan sekadar penat malah menyakitkan jiwa. Lama-kelamaan, mangsa boleh mengalami:

  • Keyakinan diri yang merosot
  • Rasa tak pernah cukup baik
  • Takut bersuara atau membuat keputusan
  • Emosi naik turun tanpa sebab jelas

Yang paling menyedihkan ramai mangsa tak sedar mereka sedang dimanipulasi. Mereka fikir perlu bersabar, perlu memahami, perlu ‘ubah’ si narsisis itu. Sedangkan realitinya, narsisis jarang berubah. Yang berubah selalunya orang di sekeliling mereka yang lama-kelamaan menjadi semakin hancur.

Narsisis & media sosial: Gabungan berbahaya

Zaman media sosial memberi pentas sempurna kepada narsisis. Like, share, komen dan pengikut menjadi bahan bakar ego. Ada yang sanggup mencipta imej palsu, drama palsu bahkan menjatuhkan orang lain demi kelihatan hebat.

Boleh koyak mental, geng.. bila berdepan dengan narsisis.

Lebih merisaukan, generasi muda mula menganggap tingkah laku narsisis sebagai confidence, sedangkan hakikatnya adalah ketagihan pengesahan.

Cara lindungi diri daripada narsisis

Kita tak boleh ubah narsisis tapi kita boleh selamatkan diri sendiri.

  • Tetapkan sempadan
  • Jangan terlalu jelaskan diri, mereka jarang nak faham
  • Jangan cari validasi daripada mereka
  • Percayai naluri bila rasa sesuatu tak kena
  • Dapatkan sokongan orang yang waras dan selamat

Menjaga diri bukan egois. Ia satu keperluan.

Berundur itu adalah keberanian

Narsisis bukan sekadar individu yang ego tinggi. Mereka boleh meninggalkan kesan mendalam pada mental dan emosi orang lain. Jika anda sedang berurusan dengan mereka, ingat satu perkara. Anda bukan lemah, anda cuma terlalu lama cuba bertahan dengan orang yang tak pernah peduli perasaan sendiri.

Kadang-kadang, keberanian sebenar bukan bertahan tetapi berundur untuk menyelamatkan diri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.