Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Mata Merah Lepas Berenang Bukan Salah Klorin Tapi Air Ken..?

Ramai menyalahkan klorin apabila mata pedih selepas berenang. Namun punca sebenar mungkin datang daripada tabiat pengguna kolam sendiri.
Penggunaan goggles dalam kolam renang adalah sangat digalakkan

Setiap kali lepas berenang di kolam renang dan mata mula merah atau pedih, ramai yang terus menyalahkan klorin.

“Kolam ni banyak sangat klorin.”

Itu antara ayat yang selalu kita dengar.

Tapi tahukah anda, mata merah selepas berenang sebenarnya bukan berpunca daripada klorin semata-mata?

Menurut pakar, punca sebenar selalunya datang daripada tindak balas antara klorin dan bahan-bahan yang dibawa masuk ke dalam kolam oleh manusia sendiri. Antaranya peluh, air kencing, minyak pada badan, sel kulit mati, kosmetik dan pelbagai kotoran lain.

Apabila klorin bercampur dengan bahan-bahan tersebut, ia menghasilkan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai chloramines. Bahan inilah yang sering menyebabkan mata pedih, merah dan rasa tidak selesa selepas berenang.

Maksudnya, semakin banyak “pencemaran” dalam kolam, semakin banyak chloramines yang boleh terbentuk.

Sebab itu juga bau yang kuat di sesetengah kolam renang tidak semestinya menunjukkan kandungan klorin yang tinggi. Sebaliknya, ia boleh menjadi petanda bahawa klorin sedang bertungkus-lumus bertindak balas dengan pelbagai bahan yang ada dalam air.

Agak mengejutkan, bukan?

Ramai yang menyangka klorin ialah musuh utama, sedangkan ia sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan air kolam kekal bersih dan selamat digunakan. Tanpa klorin, bakteria, virus dan pelbagai mikroorganisma berbahaya boleh membiak dengan lebih mudah.

Jadi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menggunakan kolam tersebut.

Mandi sebelum masuk ke dalam kolam mungkin nampak seperti perkara kecil dan remeh tetapi ia sangat membantu mengurangkan peluh, minyak dan kotoran yang melekat pada badan. Selain itu, mengelakkan tabiat membuang air kecil di dalam kolam juga boleh membantu mengekalkan kualiti air.

Ringkasnya, jika mata anda merah selepas berenang, jangan terlalu cepat menuding jari kepada klorin. Kesian klorin, dia tak bersalah pun.

Kadangkala, apa yang menyebabkan mata pedih itu bukan bahan pembasmi kuman tersebut tetapi kesan daripada pelbagai kotoran yang dibawa masuk oleh pengguna kolam sendiri.

Klorin cuma menjalankan tugasnya. Yang perlu berubah mungkin tabiat kita.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.