Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Menang Saman RM12.19 Juta, Bagaimana Otak Hanan Boleh Rosak?

Bertahun menanti, ibu ayah Hanan akhirnya dapat sedikit sinar untuk memastikan keperluan anak mereka terus terbela sepanjang hayat.

Tujuh tahun menanti cahaya mata, akhirnya seorang ibu terpaksa melalui perjalanan panjang yang langsung tidak pernah dibayangkannya.

Itulah kisah Noraisah Ali dan suaminya, Mohd Sukri Mahat, ibu bapa kepada Hanan Qaireen Mohd Sukri berusia 8 tahun yang mengalami kecederaan otak ketika proses kelahirannya pada 18 Februari 2018.

Selepas hampir lapan tahun, perjuangan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Mahkamah Tinggi Ayer Keroh menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM12.19 juta kepada Hanan dalam kes kecuaian perubatan.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Menurut laporan, Noraisah berada di Hospital Melaka untuk proses kelahiran selepas kehamilannya berjalan dengan baik, selain mengalami kencing manis yang dikawal melalui pemakanan.

Namun selepas menunggu sehingga malam dan air ketuban pecah, keadaan berubah apabila Hanan mengalami masalah degupan jantung serta kekurangan oksigen.

Hanan kemudiannya dilahirkan melalui pembedahan kecemasan dan memerlukan bantuan mesin pernafasan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama sembilan hari. Rekod perubatan turut menunjukkan skor APGAR yang rendah dan pemeriksaan seterusnya mengesahkan kecederaan otak yang serius.

Kesan daripada kecederaan itu, Hanan kemudiannya didiagnosis dengan Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia. Dia masih memerlukan pelbagai terapi, mengalami sawan dan scoliosis, selain menggunakan peralatan khas seperti kasut AFO, standing frame, reverse walker dan kerusi roda yang perlu ditukar mengikut tumbesarannya.

Kosnya pula bukan sedikit.

Kasut AFO Hanan kini mencecah lebih RM2,000, standing frame hampir RM2,000 manakala reverse walker pula melebihi RM1,000. Itu pun belum termasuk terapi dan keperluan penjagaan lain yang perlu ditanggung dari semasa ke semasa.

Sebab itu pada 2023, keluarga Hanan mengambil keputusan untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

Dan mereka sendiri menjelaskan, perjuangan itu bukan kerana mahu berdendam.

Sebaliknya, mereka mahu memastikan Hanan mempunyai kehidupan yang lebih terjamin apabila semakin membesar dan keperluannya semakin bertambah.

Hanan diwakili peguam Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya. Kerajaan Malaysia kemudiannya mengaku liabiliti pada hari terakhir perbicaraan pada Jun 2026.

Mahkamah akhirnya memberikan RM10.77 juta sebagai ganti rugi masa hadapan bagi kos rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin sepanjang hayat Hanan. Selain itu, terdapat juga beberapa bentuk ganti rugi lain sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM12.19 juta.

Tahniah buat ibu ayah Hanan.

Bertahun-tahun mereka membesarkan anak yang memerlukan penjagaan khas, dalam masa yang sama tidak pernah berhenti mencari jalan untuk memastikan masa depan Hanan terbela.

Dan tahniah juga buat barisan peguam yang terus memperjuangkan kes ini.

Semoga kemenangan ini benar-benar menjadi sinar baharu buat Hanan dan keluarganya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.