Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Cortisol Tinggi: Badan Memanjang Letih Walau Tak Buat Apa?

Bukan semua rasa penat datang daripada kerja berat. Kenali bagaimana tekanan, tidur dan rutin harian boleh mempengaruhi keadaan badan kita.

Pernah tak rasa badan penat sangat tapi otak pula macam tak reti nak “off”? Nak tidur susah, bangun masih letih, mudah marah dan benda kecil pun rasa macam berat sangat.

“Mungkin cortisol aku tinggi kot”

Sebenarnya, cortisol memang ada kaitan dengan tekanan dan stress. Tapi jangan bayangkan cortisol sebagai hormon jahat yang kita perlu hapuskan. Cortisol sebenarnya penting untuk badan.

Senang cerita, cortisol ni macam “hormon alarm” badan.

Bila kita stress, takut atau berada dalam keadaan yang mencabar, badan akan keluarkan cortisol untuk membantu kita kekal berjaga-jaga dan mempunyai tenaga untuk menghadapi situasi tersebut.

Contohnya, kerja tak habis-habis, masalah keluarga, anak buat perangai, tidur tak cukup atau kepala asyik fikir macam-macam. Badan boleh berada dalam keadaan “standby” kerana menganggap ada sesuatu yang perlu dihadapi.

Masalahnya datang apabila keadaan ini berlarutan.

Kalau badan asyik berada dalam mode “alarm”, kita mungkin mula rasa susah tidur, cepat penat, susah fokus, mudah emosi, mengidam makanan tertentu atau rasa badan sentiasa tegang dan tak betul-betul berehat.

Sebab itu ada orang yang mengeluh, “Aku tak buat kerja berat pun hari ni tapi kenapa penat satu macam sampai rasa nak tumbang?”

Penat emosi dan penat mental pun boleh terasa sangat pada badan.

Namun begitu, satu perkara penting perlu difahami. Rasa penat atau stress tidak bermaksud seseorang itu semestinya mempunyai cortisol yang tinggi.

Kurang tidur, pemakanan yang tidak seimbang, anemia, masalah tiroid, ubat-ubatan tertentu dan pelbagai keadaan kesihatan lain juga boleh menyebabkan simptom yang hampir sama.

Jadi jangan pula anda terus beli macam-macam “cortisol detox” hanya kerana tengok video TikTok.

Cortisol bukan musuh kita. Badan memang memerlukannya. Yang penting adalah memastikan badan mendapat peluang untuk berehat, tidur yang mencukupi, makan dengan baik dan menguruskan tekanan sebaik mungkin.

Kalau keletihan berpanjangan, gangguan tidur atau perubahan pada badan semakin ketara dan mengganggu kehidupan harian, elok lah pergi jumpa doktor.

Pendek kata, cortisol ni macam alarm rumah. Alarm diperlukan apabila ada kecemasan. Tetapi kalau alarm berbunyi setiap masa, lama-lama kita sendiri pun tak tahan.

Macam tu lah juga badan kita. Kadang-kadang bukan malas. Bukan manja. Badan mungkin cuma terlalu lama dipaksa untuk “standby”.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.