Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Menu Terbaharu Nasi Lemak Goreng, Okey Ke Makan Geng?

Bila hidangan tradisi diberi nafas baharu, memang menarik nak cuba. Cuma sebelum order, jom tengok apa yang ada di sebalik rasa dan aromanya

Sekarang macam-macam makanan kita boleh jumpa versi goreng. Mee goreng, bihun goreng, nasi goreng… dan terbaru, nasi lemak pun kena goreng sekali!

Nasi lemak goreng.

Bila dengar nama saja, terus terbayang nasi lemak yang harum, berlemak dan cukup rasa itu masuk kuali pula. Sedap memang sedap. Tapi dalam kepala geng yang tengah cuba jaga makan, mesti ada satu soalan…

“Eh, nasi lemak dah ada santan. Sekarang goreng pula. Okay ke makan?”

Boleh makan, tetapi kena faham apa yang berlaku pada hidangan itu.

Nasi lemak biasanya dimasak menggunakan santan, jadi ia memang menyumbang lebih banyak lemak dan tenaga berbanding nasi putih biasa. Bila nasi tersebut digoreng menggunakan minyak tambahan, jumlah lemak dan kalori hidangan boleh meningkat lagi.

Maksudnya, nasi lemak goreng bukanlah automatik menjadi “tak sihat” hanya kerana ia digoreng. Tetapi ia boleh menjadi lebih padat kalori, terutama kalau dimasak dengan minyak yang banyak dan dihiasi pula dengan pelbagai lauk.

Belum masuk telur mata, ayam goreng, sosej, keropok dan sambal yang mencurah-curah.

Itu bukan lagi nasi lemak goreng, geng.

Itu satu keluarga besar dah berkumpul dalam pinggan.

Kalau nak menikmatinya, kita boleh tengok keseluruhan hidangan. Pilih portion nasi yang sederhana, jangan terlalu berminyak dan kalau ada pilihan, tambah sayur atau sumber protein seperti telur, ayam atau ikan.

Sambal pula? Takkanlah nasi lemak nak makan dengan sambal setitik macam titisan hujan. Boleh ambil, cuma berpada-pada kerana kandungan gula, garam dan minyak bergantung kepada cara sambal itu disediakan.

Yang penting, jangan anggap satu makanan terus menentukan sama ada diet kita “sihat” atau tidak.

Kalau sekali-sekala teringin nasi lemak goreng, makan dan nikmati.

Cuma jangan sampai setiap kali nampak perkataan “goreng”, kita terus anggap tak apa sebab ada perkataan “nasi lemak” di belakangnya.

Akhirnya, yang lebih penting ialah portion, cara penyediaan dan kekerapan kita makan.

Nasi lemak goreng boleh masuk dalam kehidupan.

Cuma jangan bagi dia masuk setiap hari.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.