Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Orang Dulu-dulu Pakai Bedak Sejuk Dulu, Benarkah Bermanfaat?

Dulu, sebelum skincare moden memenuhi rak bilik air, satu bekas kecil ini cukup untuk jadi teman rutin kecantikan mak dan nenek.

Kalau zaman dulu, tengok orang balik dari mandi dengan muka penuh titik-titik putih, kita mungkin dah tahu satu benda … bedak sejuk sedang beraksi!

Nenek pakai. Mak pakai. Anak-anak pun kadang-kadang kena sapu sekali.

Tak perlu serum berlapis-lapis, tak perlu toner, essence atau moisturizer sampai lima langkah. Cukup ambil beberapa biji bedak sejuk, campur sedikit air, sapu pada muka dan biarkan sampai kering.

Muka pun nampak macam sedang buat rawatan spa versi kampung.

Tapi pernah tak kita terfikir, kenapa orang-orang dulu begitu percaya dengan bedak sejuk?

Bedak sejuk sebenarnya merupakan produk penjagaan kulit tradisional yang berasaskan beras. Cara membuatnya juga bukan sekadar kisar beras dan terus siap. Beras perlu direndam dan melalui proses fermentasi yang panjang sebelum menjadi bentuk bedak kecil yang kita kenal.

Bila dicampurkan dengan sedikit air dan disapu pada kulit, memang akan terasa sensasi sejuk. Sebab itulah namanya pun bedak sejuk.

Jadi, apa sebenarnya manfaatnya?

Antara sebab bedak sejuk begitu popular dahulu ialah kerana ia memberikan rasa sejuk dan menyegarkan kulit, terutama dalam cuaca panas dan lembap macam Malaysia.

Ia juga secara tradisional digunakan untuk membantu menenangkan kulit yang terasa gatal atau tidak selesa. Malah, bedak sejuk pernah digunakan untuk memberikan rasa lega pada kulit yang mengalami ruam atau kegatalan.

Yang menariknya, ada juga kajian terhadap rice starch yang mendapati bahan beras boleh membantu memperbaiki fungsi lapisan pelindung kulit yang mengalami kerosakan. Jadi, kepercayaan orang dulu bahawa beras mempunyai kegunaan untuk penjagaan kulit bukanlah sesuatu yang muncul tanpa asas langsung.

Kajian khusus terhadap bedak sejuk berasaskan beras yang difermentasi pula menemukan aktiviti antioksidan dalam sampel yang diuji. Namun, penyelidik sendiri menegaskan bahawa lebih banyak kajian masih diperlukan sebelum bedak sejuk boleh dianggap mempunyai kegunaan perubatan tertentu.

Maknanya, ada manfaat yang mempunyai asas saintifik tetapi jangan pula anggap bedak sejuk sebagai ubat untuk semua masalah kulit.

Apa-apa pun orang dulu-dulu serious power!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.