Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau anda membesar pada era 2000, pasti pernah terdengar nama filem ini disebut-sebut. Sama ada di kantin sekolah, dalam perbualan keluarga atau di ruangan hiburan akhbar hujung minggu. Muallaf. Nama itu sahaja sudah cukup untuk mencetuskan reaksi dan ada yang tertanya-tanya, ada juga yang berdebat dan ada yang diam sahaja tapi dalam hati ingin tahu sangat apa yang ada dalam filem itu.
Filem Yang Berani Berbeza
Pada zaman itu, kebanyakan filem Malaysia berkisar tentang cinta, komedi atau aksi. Yasmin Ahmad datang dengan pendekatan yang sama sekali berbeza. Muallaf yang diterbitkan pada tahun 2008 bukan sahaja bercerita tentang manusia yang mencari ketenangan hati menerusi agama, malah ia berani memaparkan sesuatu yang jarang sekali disentuh oleh filem tempatan ketika itu, iaitu hubungan merentasi kaum dan agama yang dipaparkan dengan cara yang sangat jujur dan manusiawi.
Watak utamanya juga merupakan sosok yang bukan orang Melayu Muslim iaitu bernama Brian, merupakan seorang guru berbangsa Cina yang beragama Katolik tetapi bergelut dengan luka lamanya terhadap agama sejak kecil. Ada Rohani dan Rohana, dua beradik Melayu Muslim yang melarikan diri dari bapa mereka yang kasar. Tiga latar belakang yang berbeza, tapi satu persamaan iaitu mereka ini sedang rapuh di dalam hati mereka.
Apa Yang Buat Ia Jadi Kontroversi?
Inilah bahagian yang ramai masih ingat hingga sekarang. Muallaf pada mulanya tidak dibenarkan tayang di Malaysia oleh Lembaga Penapisan Filem. Antara yang menjadi isu ketika itu ialah beberapa dialog dalam filem yang dianggap terlalu sensitif dari sudut agama, termasuklah adegan di mana watak-watak dari latar belakang agama yang berbeza dan berbincang tentang keimanan, keraguan dan kebenaran secara terbuka dan setara. Bagi sesetengah pihak, cara dialog itu dibina seolah-olah menyamakan semua agama adalah suatu topik yang mencetuskan reaksi keras dari beberapa kelompok masyarakat ketika itu.
Sharifah Amani pula menjadi bahan perbualan kerana melucut rambutnya yang botak kerana melakonkan watak bernama Rohani. Bagi penonton ketika itu, ia dilihat sebagai satu lagi tindakan provokasi yang tidak perlu. Tapi bagi peminat Yasmin Ahmad, setiap keputusan itu ada maknanya yang membawa penonton untuk berfikir dengan lebih kritis dan mendalam.
Filem ini akhirnya ditayangkan di Singapura terlebih dahulu pada November 2008 sebelum sampai ke pawagam Malaysia pada Disember 2009, setahun kemudian, dengan beberapa dialog yang ditapis. Yasmin Ahmad sendiri tidak sempat menyaksikan momen itu. Beliau meninggal dunia pada Julai 2009.
Filem Yang Meninggalkan Kesan
Yang menariknya, walaupun penuh kontroversi, Muallaf mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila menerima Special Mention Best Asian-Middle Eastern Film di Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2008. Ia membuktikan bahawa apa yang dianggap terlalu sensitif di dalam negara, dilihat sebagai karya yang berani dan bermakna di luar negara.
Kalau anda pernah tengok Muallaf dulu, mungkin anda masih ingat perasaan keluar dari pawagam dengan kepala penuh persoalan. Bukan kerana filem itu mengelirukan tapi kerana ia memaksa kita berfikir tentang sesuatu yang selalu kita elakkan dan perlihatkan daripada segi sudut pemikiran dan fahaman yang lain bahawa di sebalik perbezaan agama, bangsa dan latar belakang, kita semua sebenarnya sedang mencari nilai makna yang sama iaitu ketenangan, penerimaan dan mempunyai seseorang yang memahami diri kita.
Itulah yang Yasmin Ahmad cuba sampaikan. Dan itulah sebabnya, lebih 15 tahun kemudian, filem ini masih masih menjadi bual bicara oleh orang ramai.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.