Dengar playlist penuh di sini
.

Cuba ingat balik. Masa pertama kali ada akaun MySpace, benda pertama yang dibuat bukan muat turun gambar, bukan tulis bio. Benda pertama yang dibuat ialah pilih lagu profil. Sebab lagu itu yang akan berbunyi setiap kali orang buka halaman kita. Dan pemilihan lagu itu adalah penyataan identiti yang paling jujur yang pernah kita buat di alam maya.
Dunia Pertama Kita Di Internet
MySpace diasaskan pada tahun 2003 dan dengan cepat menjadi platform media sosial paling popular di dunia pada pertengahan era 2000. Di Malaysia, ia menjadi salah satu pintu pertama ramai anak muda memasuki dunia media sosial, jauh sebelum Facebook dan Instagram mengambil alih perhatian semua orang.
Yang menjadikan MySpace istimewa berbanding platform lain selepasnya ialah kebebasan yang diberikan kepada penggunanya untuk mereka bentuk profil mereka sendiri. Boleh tukar warna latar belakang, boleh tambah gambar bergerak bersinar, boleh letak jadual lagu dan boleh susun senarai Top 8 Friends yang sering menjadi punca drama tersendiri dalam kalangan kawan-kawan.
Top 8 Yang Penuh Drama
Senarai Top 8 Friends itu memang tidak pernah terlepas daripada kontroversi kecil. Siapa yang masuk dalam senarai lapan orang terbaik kita? Adakah nama kawan baik sudah diletakkan di tempat pertama? Kenapa tetiba nama seseorang hilang daripada senarai? Perkara-perkara kecil seperti ini yang menjadi topik perbincangan hangat di kantin sekolah keesokan harinya.
Dan lagu profil? Ia adalah bahasa rahsia zaman itu. Kalau seseorang tukar lagu profilnya kepada lagu sedih selepas bergaduh dengan kekasih, semua orang tahu ada sesuatu yang berlaku. Tidak perlu tulis apa-apa. Lagu itu sudah cukup bercerita.
Kenangan Yang Tidak Boleh Di-Upload Semula
Pengguna MySpace mula menurun apabila Facebook muncul dan menawarkan pengalaman mengguna yang lebih mudah. Tapi bagi mereka yang pernah menghabiskan berjam-jam mereka bentuk profil MySpace mereka, memilih lagu yang paling tepat untuk mewakili perasaan hati, platform itu bukan sekadar media sosial. Ia adalah buku diari pertama kita di alam maya, yang sayangnya sudah tidak boleh dibuka semula.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.