Dengar playlist penuh di sini
.

Pada pagi Ahad suatu ketika dahulu, sebahagian penduduk Kuala Lumpur sudah tahu ke mana arah tujumereka tanpa perlu berfikir panjang. Pasar Seni, Bukan kerana ada keperluan khusus yang ingin dibeli tetapi kerana di sana ada sesuatu yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Sesuatu yang terasa hidup, bergerak, berbunyi, dan menyentuh sanubari yang jarang-jarang terusik dalam kesibukan rutin harian.
Zaman kegemilangan Pasar Seni bukan sekadar tentang barangan kraf tangan atau cenderamata tetapi tentang insan-insan yang menghidupkannya. Nama-nama besar seperti Sasterawan Negara A. Samad Said, Datuk M. Nasir, Imuda dan Pyan Habib pernah menjadikan Pasar Seni sebagai lokasi berkumpul, berdiskusi dan mengekspresikan seni dalam pelbagai bentuk.
Pelukis melukis potret secara langsung, pemuzik jalanan mendendangkan lagu tanpa pentas rasmi dan peniaga menjual karya tangan dengan penuh rasa bangga kerana setiap helaian kain serta ukiran kayu itu lahir daripada keringat mereka sendiri.
Bagi sesiapa yang pernah melangkah masuk pada waktu itu, suasana di dalam bangunan bercat biru lembut dengan seni bina art deco yang kekal sejak tahun 1937 itu terasa amat berbeza daripada mana-mana tempat lain di Kuala Lumpur. Silingnya tinggi, manakala lorong-lorongnya dinamakan mengikut kaum seperti Lorong Melayu, Lorong Cina dan Lorong India. Bau pelbagai rempah-ratus dan fabrik bercampur menjadi satu aroma unik yang hanya boleh ditemui di situ.
Hari Ahad ialah hari yang paling meriah. Ramai yang datang bukan untuk membeli-belah, melainkan untuk duduk, melihat dan merasai suasana. Ada yang singgah ke gerai makanan di sekitarnya, menghirup teh tarik sambil bersembang dengan orang yang baru dikenali. Ada yang asyik menonton pelukis menyiapkan karya di hadapan mata. Ada juga yang sekadar berjalan santai melalui setiap lorong sambil menyentuh fabrik yang digantung rapi di pinggir gerai.
Suasana pada waktu itu tidak pernah tergesa-gesa. Masa di sana seolah-olah bergerak lebih perlahan berbanding di luar dan entah mengapa, detik yang perlahan itulah yang dirasakan paling berharga.
Pasar Seni masih berdiri megah hari ini dengan bangunan art deco yang sama. Bagaimanapun, bagi mereka yang pernah merasai zaman kegemilangannya, ada rasa yang berbeza setiap kali melangkah masuk sekarang. Tempatnya bukanlah berubah sepenuhnya tetapi ‘jiwa’ yang pernah wujud di situ kini terasa semakin pudar. Perasaan bahawa tempat tersebut adalah milik bersama dan bukannya hak eksklusif para pelancong, seolah-olah telah hilang.
Itulah yang paling dirindui. Bukan struktur bangunannya tetapi roh dan jiwa yang pernah menghidupkannya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.