Dengar playlist penuh di sini
.

Dahulu, bila pengadil tersilap membuat keputusan, penyokong akan berkata, “Kalaulah ada kamera, mesti keputusan lain.”
Hari ini, kamera bukan sekadar ada. Malah di Piala Dunia 2026, teknologi semakin canggih dengan VAR, sensor dalam bola dan sistem offside yang mampu mengesan kedudukan pemain dalam beberapa saat. Namun, peliknya… kontroversi bukan semakin berkurang malah semakin menjadi-jadi.
Sejak kejohanan bermula, media sosial dibanjiri perdebatan mengenai keputusan VAR. Ada gol dibatalkan kerana kesalahan yang berlaku beberapa saat sebelum jaringan. Ada pula yang mempersoalkan mengapa satu insiden disemak tetapi insiden lain dibiarkan begitu sahaja. Perlawanan Argentina menentang Mesir misalnya menjadi antara yang paling hangat diperkatakan selepas beberapa keputusan VAR mencetuskan bantahan daripada kem Mesir.
Persoalannya, adakah teknologi itu yang bermasalah?
Jawapannya mungkin tidak.
Teknologi hanya mengumpulkan data. Yang membuat keputusan tetap manusia.
VAR boleh menunjukkan rakaman dari pelbagai sudut. Sensor dalam bola boleh mengesan sentuhan. Sistem offside boleh mengira kedudukan pemain hingga ke beberapa sentimeter. Tetapi apabila sesuatu keputusan masih memerlukan tafsiran pengadil, perbezaan pendapat tetap akan wujud.
Sebab itu, walaupun FIFA memperkenalkan pelbagai teknologi baharu untuk meningkatkan ketepatan keputusan, perdebatan tetap tidak pernah berhenti. Malah ada yang berpendapat teknologi kini terlalu banyak masuk campur sehingga menghilangkan rentak dan emosi semula jadi permainan.
Hakikatnya, bukan bola sepak sahaja begitu.
Dalam kehidupan seharian pun sama. Kita hidup pada zaman kamera telefon merakam setiap sudut, mesej boleh dijadikan bukti, rakaman CCTV ada di merata tempat. Namun salah faham masih berlaku, fitnah tetap tersebar dan manusia masih bertelagah tentang siapa yang benar.
Mungkin masalah sebenar bukan kekurangan teknologi.
Tetapi hakikat bahawa manusia sentiasa melihat sesuatu mengikut emosi, pengalaman dan kecenderungan masing-masing.
Jadi, kalau di pentas sebesar Piala Dunia pun teknologi masih gagal memuaskan hati semua orang, jangan terlalu kecewa jika dalam kehidupan kita sendiri ada orang yang tetap memilih untuk tidak mempercayai kita.
Secanggih mana sekalipun teknologi, keputusan terakhir masih bergantung kepada manusia. Dan manusia tidak pernah sempurna.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.