Dengar playlist penuh di sini
.

PJJ atau perkahwinan jarak jauh bukan sekadar tentang dua hati yang terpisah oleh negeri atau jarak. Bagi sesetengah pasangan, PJJ bermaksud seorang isteri di rumah mengurus anak-anak dan kehidupan harian, sementara suami meneruskan kerja jauh di tempat lain.
Ada isteri yang bangun awal, siapkan sarapan, kejutkan anak, urus sekolah, kerja, makan minum, pakaian dan kerja rumah. Bila anak demam, dia yang berjaga. Bila anak meragam, dia yang pujuk. Bila ada masalah di rumah, dia juga yang cari jalan.
Pendek kata, tubuh cuma satu.
Tapi kerja macam satu pasukan.
Suami pula jauh di sana. Kononnya bekerja demi keluarga.
Dan si isteri terus bertahan kerana dia percaya pada satu perkara iaitu mereka sedang berkorban untuk masa depan bersama.
Malangnya, ada cerita yang berakhir dengan pengorbanan seorang isteri hanya menjadi tiket untuk seorang suami mencari hidup yang lebih “menyenangkan”.
Ketika isteri sibuk mengurus anak sampai kadang-kadang makan pun tak sempat, suami pula sibuk melayan mesej, perhatian dan kemesraan daripada orang lain.
Ironinya, orang yang sama boleh mengeluh bahawa dia kesunyian di tempat kerja.
Sedangkan di rumah, ada seorang isteri yang mungkin sudah terlalu penat untuk bercerita tentang kesunyian sendiri.
Dia bukan tak rindu suami.
Dia cuma terlalu sibuk bertahan.
Dan mungkin di sinilah PJJ mengajar sesuatu yang pahit.
Jarak tidak pernah menjadi alasan untuk curang.
Jarak cuma mendedahkan bagaimana seseorang memilih untuk menjaga sebuah hubungan apabila pasangan tiada di depan mata.
Kalau benar rindu, telefonlah.
Kalau benar penat, berceritalah.
Kalau hubungan mula terasa hambar, usahakanlah.
Bukan mencari seseorang yang baru semata-mata kerana orang itu pandai memberi perhatian ketika pasangan sendiri sedang sibuk mengurus kehidupan yang mereka bina bersama.
Paling menyakitkan, ada isteri yang mungkin selama ini menyangka dirinya sedang menjaga rumah tangga.
Rupanya dia seorang saja yang masih menjaganya.
Kerana rumah tangga bukan sekadar siapa bayar bil, siapa balik hujung minggu atau siapa bekerja jauh.
Rumah tangga ialah tentang tetap memilih pasangan, walaupun ada peluang untuk memilih orang lain.
Dan kepada suami yang menganggap PJJ memberi ruang untuk hidup dua cerita sekaligus, mungkin satu hari nanti dia akan sedar…isteri yang selama ini kelihatan kuat itu bukan tidak tahu apa yang berlaku.
Dia cuma terlalu sibuk menjadi ibu, ayah, pengurus rumah dan tempat anak-anak bergantung sampai tidak sempat untuk menyiasat lelaki yang sepatutnya menjadi tempat dia sendiri bersandar.
Jangan sampai bila isteri akhirnya penat, suami baru sedar bahawa yang hilang bukan sekadar seorang isteri tetapi wanita yang selama ini bertahan seorang diri demi keluarga yang sepatutnya dipikul bersama.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.