Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Raksasa Di Sebalik Skrin, Hodohnya Mentaliti Netizen Macam Ni

Kalau anda berdepan dengan orang, adakah automatik mulut anda pun akan lancar keluar ayat laser dan maki hamun?

Pernah tak anda buka bahagian komen kat mana-mana hantaran yang tengah viral, lepas tu anda rasa seram sejuk tengok ayat-ayat yang ditinggalkan netizen? Sumpah seranah, makian, hinaan fizikal, sampai ada yang sanggup mendoakan kecelakaan orang lain. Budaya mengecam dalam kalangan masyarakat kita sekarang ni nampaknya dah sampai ke satu tahap yang tiada henti, macam dah jadi satu ketagihan harian pula.

Persoalannya, cuba kita duduk sekejap dan refleks diri sendiri. Kenapa ya tangan kita ni senang-senang je nak taip kata-kata yang setajam pisau kat skrin telefon tu? Memang hati anda dah hitam sangat ke macam mana? Kadang-kadang terfikir juga, kalau anda berdepan satu lawan satu secara bersemuka dengan mangsa kecaman tu, adakah automatik mulut anda pun akan lancar keluar ayat laser dan maki-hamun macam tu juga?

Realitinya, jawapannya mestilah tidak. Kalau depan-depan, kebanyakannya akan jadi pijat tak bertelur, acah-acah sopan, siap tersenyum tegur sapa lagi. Tapi kenapa bila di sebalik skrin telefon, kita terus bertukar jadi ‘raksasa’ yang hilang segala rasa empati? Benda ni berlaku sebab kita rasa diri kita halimunan dan kebal daripada sebarang tindakan, terutamanya kalau guna akaun palsu. Kita rasa tak perlu bertanggungjawab atas air mata atau gangguan mental yang dialami oleh orang yang kita kecam tu.

Tapi perbuatan macam ni sebenarnya sangat menakutkan sebab dia mencerminkan apa yang ada kat dalam hati kita. Kalau dalam dunia digital pun anda begitu mudah nak muntahkan perkataan yang kotor dan menyakitkan, itu tandanya hati anda sendiri yang sedang bermasalah. Anda mungkin nampak macam manusia normal yang bekerjaya dan berkeluarga di dunia nyata, tapi toksik yang disimpan kat dalam dada tu dilepaskan melalui hujung jari secara senyap-senyap.

Jadi, sebelum anda gatal tangan nak tekan butang ‘send’ untuk kecam atau jatuhkan hukum kat sesiapa lepas ni, cubalah hantar mesej tu dekat diri sendiri dulu. Baca balik ayat tu dan tanya, “Kalau orang cakap macam ni kat mak ayah aku atau anak-anak aku, apa aku rasa?” Mengkritik atau menegur tu tak salah, tapi biarlah ada adab dan sempadannya. Jangan disebabkan nak puaskan hati yang penuh dengan rasa benci, anda sanggup gadaikan maruah diri dan mengumpul dosa kering yang tak ada kesudahan ni. Jomlah kita sama-sama bersihkan balik jari-jemari dan hati kita.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.