Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Ramai Pandang ‘Slack’, Kenal & Fahami Dulu Pengidap Tourette

Ada yang berkelip-kelip, mengangkat bahu, menggerakkan anggota badan, berdehem, mengeluarkan bunyi tertentu atau menjerit secara tiba-tiba.
Close-up of a cheerful woman with her tongue out, winking playfully.

Pernah tak kita berada di tempat awam, tiba-tiba terdengar seseorang menjerit, mengeluarkan bunyi pelik, menggerakkan kepala atau tangan berulang kali, malah ada yang terlepas kata-kata kasar?

Reaksi pertama mungkin mudah muncul: “Kenapa dia macam tu?”, “Dia marah aku ke?” atau lebih buruk, kita anggap orang itu sengaja mencari gaduh.

Tetapi bagaimana kalau sebenarnya dia tidak berniat langsung untuk melakukan semua itu?

Ia mungkin tic, iaitu pergerakan atau bunyi yang berlaku secara berulang dan sukar dikawal, seperti yang dialami oleh individu dengan Tourette syndrome. Tourette merupakan keadaan berkaitan sistem saraf yang menyebabkan seseorang mengalami tic motor dan vocal.

Tic boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Ada yang berkelip-kelip, mengangkat bahu, menggerakkan anggota badan, berdehem, mengeluarkan bunyi tertentu atau menjerit secara tiba-tiba. Jenis dan kekerapan tic juga boleh berubah dari semasa ke semasa.

Yang paling sering disalah faham ialah apabila seseorang dengan Tourette mengeluarkan kata-kata kesat.

Ya, perkara itu boleh berlaku. Ia dikenali sebagai coprolalia, iaitu sejenis vocal tic yang menyebabkan seseorang mengeluarkan perkataan atau frasa yang tidak sesuai secara sukar dikawal. Tetapi ia sebenarnya jarang berlaku dan bukan semua individu dengan Tourette akan mencarut. (CDC)

Jadi kalau seseorang tiba-tiba menjerit, mengeluarkan perkataan kasar atau membuat pergerakan yang kelihatan agresif, jangan terus membuat kesimpulan bahawa dia sedang menyerang kita.

Perkara paling mudah yang boleh dilakukan ialah jangan membalas dengan kemarahan, jangan mengejek dan jangan sengaja mencetuskan reaksinya.

Bayangkan seseorang sudah terpaksa berhadapan dengan tubuhnya sendiri yang melakukan sesuatu di luar kawalan. Kemudian orang di sekeliling pula memarahinya kerana menyangka dia sengaja.

Itu boleh menjadikan keadaan jauh lebih sukar.

Kesedaran tentang Tourette penting kerana tidak semua keadaan yang kelihatan “pelik”, “kasar” atau “agresif” sebenarnya mempunyai niat di sebaliknya. Kadangkala, apa yang kita nampak sebagai tingkah laku sengaja hanyalah simptom sesuatu keadaan yang kita belum faham.

Dan mungkin selepas ini, apabila kita terdengar seseorang tiba-tiba menjerit atau mengeluarkan perkataan kasar tanpa konteks, kita boleh berhenti sekejap sebelum marah.

Tidak semua yang kelihatan seperti serangan adalah serangan. Tidak semua kata-kata kasar diucapkan dengan niat.

Kadangkala, orang itu cuma sedang mengalami tic.

Sedikit ilmu daripada kita mungkin membuatkan hidup seseorang yang menghidap Tourette menjadi sedikit lebih mudah.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.