Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Kerap EL? Kena Pandai Uruskan Supaya Orang Lain Tak Terbeban

Sekali sekala, tiada masalah, tapi kalau terlalu kerap, buddy yang sentiasa terpaksa cover tugasan anda memang boleh rasa terbeban.

Ramai antara kita pernah dengar bisikan-bisikan kecil di pejabat, dia ni kerap betul ambil cuti, atau asyik je anak dia demam. Tapi kalau kita renung dengan lebih dalam, cuti sebegini sebenarnya menceritakan sesuatu yang jauh lebih bermakna. Ia menunjukkan seorang pekerja yang juga seorang ibu atau bapa yang bertanggungjawab.

Apabila seorang pekerja memohon cuti kerana anak demam atau tidak sihat, ini bukan alasan untuk lari daripada kerja. Ia adalah refleksi bahawa mereka meletakkan keutamaan yang betul dalam hidup, iaitu keluarga. Seorang anak yang sakit memerlukan ibu bapa di sisi, bukan pengasuh atau sesiapa sahaja. Pekerja yang sanggup memohon cuti demi menjaga anak menunjukkan nilai integriti dan kasih sayang yang tinggi, malah ini adalah kualiti yang turut mencerminkan sikap tanggungjawab mereka dalam kerja seharian.

Situasi pengasuh mengambil cuti turut sering disalahfahami. Ramai tidak sedar betapa besarnya cabaran logistik yang perlu diuruskan seorang ibu bapa bekerja apabila pengasuh tiba-tiba minta cuti, sekolah tiba-tiba tutup. Fakta bahawa pekerja tersebut tetap memberitahu majikan lebih awal, memohon cuti secara rasmi, dan tidak sekadar menghilangkan diri menunjukkan sikap profesional yang tinggi walaupun dalam keadaan tertekan.

Namun begitu, perlu diakui juga bahawa setiap cuti yang diambil turut memberi kesan kepada rakan sekerja yang perlu menggalas tugas semasa ketiadaan mereka. Sekali sekala, tiada masalah, tapi kalau terlalu kerap, buddy yang sentiasa terpaksa cover tugasan anda memang boleh rasa terbeban, malah timbul rasa tak best walaupun tidak diluahkan secara terus. Ini bukan salah sesiapa, tetapi realiti yang perlu difahami oleh pekerja yang kerap mengambil cuti kecemasan.

Justeru, di sinilah kematangan sebenar seorang pekerja diuji. Bukan sekadar pandai memohon cuti, tetapi pandai menguruskan kerja sebelum dan semasa cuti. Cuba selesaikan sendiri apa yang termampu sebelum diserahkan kepada orang lain untuk disambung. Tinggalkan status kerja yang jelas, supaya rakan sekerja yang mengambil alih tidak keliru dan tidak menanggung beban lebih daripada sepatutnya. Sikap sebegini menunjukkan penghargaan kepada buddy yang membantu, dan inilah yang membezakan pekerja bertanggungjawab dengan pekerja yang sekadar bergantung kepada simpati orang lain.

Majikan yang bijak akan melihat perkara ini secara positif, dengan syarat wujud keseimbangan. Pekerja yang dibenarkan menguruskan hal keluarga tanpa rasa bersalah akan lebih menghargai organisasi dan cenderung kekal lebih lama, malah fikiran yang tenang turut menghasilkan tumpuan kerja yang lebih fokus. Tetapi keprihatinan ini perlu dua hala, di mana pekerja yang mengambil cuti turut peka terhadap beban rakan sekerja dan berusaha mengurangkan kesan tersebut sedaya upaya.

Seorang pekerja yang berkahwin dan mempunyai anak bukanlah pekerja yang kurang komited. Mereka sering kali adalah individu yang paling pandai mengurus masa dan paling bertanggungjawab dalam menyeimbangkan dua dunia iaitu kerja dan keluarga, asalkan mereka turut peka kepada kesan tindakan mereka terhadap pasukan. Cuti yang diambil dengan penuh perancangan, disertai usaha menyelesaikan kerja sebelum diserahkan kepada orang lain, adalah bukti nyata kematangan seseorang, bukan sahaja sebagai pekerja, malah sebagai insan yang menghargai kedua dua keluarga dan rakan sekerja di sekelilingnya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.