Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Ramai Panik.. Makan Enoki, Esok Keluar Balik Waktu ‘Poopoo’

Jangan panik! Ada sebab kenapa cendawan ini masih boleh kelihatan walaupun sudah melalui sistem penghadaman.
a bunch of baskets filled with food on top of a table

Pernah makan enoki, kemudian bila masuk tandas nampak macam ada cebisan enoki dalam najis? Terus pandang dua kali sambil terdetik dalam hati, “Eh, yang ni aku makan tadi ke? Tak sempat hadam langsung?”

Jangan risau. Situasi macam ini memang boleh berlaku, dan ia tidak semestinya bermaksud sistem penghadaman kita gagal menjalankan tugasnya.

Enoki ialah sejenis cendawan yang mempunyai struktur sel yang mengandungi chitin. Bahan ini agak sukar dipecahkan oleh enzim penghadaman manusia. Sebab itu, walaupun kandungan di dalam cendawan boleh diproses dan sebahagiannya diserap oleh badan, struktur luarnya masih boleh kekal dan akhirnya keluar bersama najis.

Lebih-lebih lagi kalau enoki dimakan dalam bentuk panjang-panjang dan kita pula jenis kunyah makanan macam tengah kejar masa. Masuk mulut, kunyah dua tiga kali, telan.

Perut pula yang kena sambung kerja.

Sebenarnya, proses penghadaman bukan bermaksud semua makanan akan hilang bentuknya sehingga kita tak boleh kenal langsung. Ada bahagian makanan tertentu yang memang lebih sukar dipecahkan, terutama komponen serat dan struktur tumbuhan atau cendawan.

Sebab itu kadang-kadang kita boleh nampak cebisan sayur, jagung atau cendawan dalam najis. Apa yang kelihatan itu tidak semestinya mewakili keseluruhan makanan yang keluar tanpa dicerna.

Untuk enoki, cara kita makan pun memainkan peranan. Mengunyah dengan lebih baik, memotong enoki kepada bahagian lebih kecil dan memasaknya dengan sempurna boleh membantu memecahkan struktur cendawan supaya ia lebih mudah diproses oleh sistem penghadaman.

Jadi, kalau nampak enoki dalam tandas selepas makan, tak perlulah terus fikir, “Alamak, badan aku reject enoki!”

Belum tentu.

Kemungkinan besar ada bahagian strukturnya yang memang lebih degil untuk dipecahkan. Nutrien dan kandungan lain yang boleh diproses oleh badan tetap boleh melalui proses penghadaman seperti biasa.

Bagaimanapun, kalau perubahan najis itu berlaku bersama sakit perut yang teruk, cirit-birit berpanjangan, darah dalam najis, muntah atau simptom lain yang luar biasa, jangan terus anggap semuanya berpunca daripada enoki. Dapatkan pemeriksaan jika keadaan berterusan atau membimbangkan.

Jadi kesimpulannya, enoki yang muncul semula dalam najis bukan semestinya tanda makanan itu langsung tak tercerna.

Kadang-kadang kita saja yang terkejut sebab rupa dia masih sama.

Naughty tau enoki ni. Masuk sebagai enoki, keluar pun masih nak tunjuk IC dia.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.