Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Risiko Pitam Atau Mati, Jangan Main-main Dengan Helium!

Kelakar tak bermakna selamat. Sedut helium berlebihan boleh menyebabkan hipoksia iaitu kekurangan oksigen dalam badan.

Siapa je tak pernah tengok video atau prank orang sedut helium daripada belon dan bunyi suara yang keluar tiba-tiba bertukar jadi tinggi macam kartun? Memang mencuit hati sampai boleh tergelak sendiri. Tapi tahukah anda, helium bukan hiburan selamat? Sedut helium boleh beri kesan serius kepada kesihatan.

Apa itu helium?

Helium ialah gas tak berwarna, tak berbau dan ringan. Biasa digunakan untuk mengisi belon supaya terapung. Ia juga digunakan dalam industri perubatan, penyelidikan dan teknologi kerana sifatnya yang stabil.

Masalah timbul bila helium dihisap terus daripada belon atau silinder gas. Ramai orang tak sedar, helium boleh menggantikan oksigen dalam paru-paru dan ini boleh menyebabkan risiko serius.

Kenapa suara jadi tinggi?

Bunyi kartun yang keluar selepas sedut helium berlaku kerana helium lebih ringan daripada udara biasa. Apabila udara dalam saluran suara digantikan dengan helium, bunyi frekuensi tinggi jadi lebih jelas. Itu sebab suara kedengaran kelakar.

Tapi kelakar tidak bermakna selamat. Sedut helium berlebihan boleh menyebabkan hipoksia iaitu kekurangan oksigen dalam badan.

Risiko kesihatan
  1. Kekurangan Oksigen (Hipoksia) – Jika paru-paru dipenuhi helium, badan tidak menerima oksigen yang cukup. Kesannya bukan sahaja termasuk pening, pitam, pengsan malah kematian dalam kes serius.
  2. Kecederaan paru-paru – Sedut helium terus dari silinder bertekanan tinggi boleh merosakkan paru-paru. Tekanan gas tinggi boleh menyebabkan pecah alveoli (kantung udara kecil dalam paru-paru), satu keadaan yang sangat berbahaya.
  3. Masalah jantung – Kekurangan oksigen memberi tekanan kepada jantung. Dalam kes serius boleh menyebabkan serangan jantung atau arrhythmia (degupan jantung yang tidak normal).
  4. Kesan jangka panjang – Sedut helium berulang kali boleh menjejaskan fungsi otak akibat kekurangan oksigen kronik.
Helium daripada belon VS silinder gas
  • Belon: risiko rendah jika hanya sedut sedikit untuk hiburan sekejap.
  • Silinder gas: risiko tinggi kerana tekanan gas tinggi dan kandungan helium lebih pekat.
Tolong jangan sesekali sedut helium daripada silinder gas macam ni.
Cara selamat nak berlawak guna helium

Kalau nak bergurau dengan helium:

  1. Hanya sedut sedikit daripada belon. Jangan masuk terlalu banyak.
  2. Jangan guna silinder gas, terlalu berbahaya.
  3. Pastikan dalam keadaan duduk atau berdiri stabil supaya kalau pening, tidak jatuh dan cedera.
  4. Elakkan aktiviti ini pada kanak-kanak atau orang lemah jantung.
Nyawa lebih penting

Helium memang mudah buat orang ketawa tapi jangan pandang remeh. Lawak bukan bermakna selamat dan sedut terlalu banyak boleh menyebabkan risiko serius termasuk pengsan, kerosakan paru-paru atau kematian.

Jadi kalau nak bergurau dengan helium, pastikan sedut sedikit saja. Jangan terlalu taksub nak keluarkan suara kartun. Melawak itu menghiburkan tapi nyawa lebih penting.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.