Dengar playlist penuh di sini
.
Kecoh di media sosial minggu ni mengecam tindakan seorang aktivis asal Rohingya yang memberikan kenyataan yang mengguris perasaan warga Malaysia, Indonesia Dan Thailand, anda boleh cari sendiri video ucapannya dah merata di repost, dan tentang tohmahannya, tidak dinafikan, ya, ada kanak-kanak Rohingya dalam pusat tahanan imigresen Malaysia, itu fakta. Tapi sebelum kita semua melompat ke kesimpulan yang sama dengan Noor Azizah, mari kita faham kenapa ia berlaku dan siapa yang sepatutnya dipersalahkan.
Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, dan tidak mempunyai kerangka undang-undang dalaman yang mengiktiraf status pelarian secara formal. Akibatnya, semua pelarian dan pencari suaka termasuk Rohingya diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin di bawah Akta Imigresen 1959/63. Ertinya, bukan Malaysia “memilih” untuk menahan kanak-kanak ini kerana negara in kejam, tetapi Malaysia tiada mekanisme undang-undang yang membolehkan mereka diberi status sah secara automatik.
Setakat Februari 2026, seramai 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan 126,144 adalah etnik Rohingya, dan kira-kira 64,680 adalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun. Malaysia menrima mereka tanpa obligasi undang-undang antarabangsa. Tiada siapa paksa, tapi kita tampung mereka secara sukarela dalam kapasiti yang terhad.
Tapi ada satu perkara yang perlu kita akui, kerajaan Malaysia telah menafikan akses UNHCR ke pusat tahanan imigresen sejak 2019, menyebabkan agensi itu tidak dapat menyemak tuntutan suaka atau melindungi tahanan yang berdaftar sebagai pelarian.Pada Januari 2026, pihak berkuasa mula melancarkan program pendaftaran untuk pelarian Rohingya di pusat tahanan imigresen, dengan kumpulan pertama dipindahkan ke pusat pemprosesan di Bidor, Perak, untuk temu duga bagi menentukan status pelarian mereka. Proses ini lambat? Ya. Tapi ia sedang berlaku. Dan Noor Azizah tidak sebut satu perkataan pun tentang ini dalam ucapannya.
Yang paling penting, Rohingya tidak memilih untuk datang ke Malaysia. Mereka lari kerana dihalau, dibunuh, dan dinafikan kewarganegaraan oleh kerajaan Myanmar sendiri. Konflik di Myanmar terus memuncak, menyebabkan gelombang baru pelarian dalaman dan pergerakan merentasi sempadan, manakala keganasan berleluasa terus berlanjutan. Jadi soalan yang perlu ditanya, kenapa platform ucapan Noor Azizah digunakan untuk menghentam Malaysia, Indonesia dan Thailand, dan bukan untuk menekan Myanmar yang jadi punca segala-galanya?
Kita boleh bersimpati dengan perjuangan beliau. Kita boleh akui sistem ada kekurangan tapi, janganlah menunding kepada negara yang menerima mereka saat mereka terumbang-ambing di lautan tidak tahu arah tuju ke mana. Jangan kerana hal ini, anda membuka ruang provokasi kepada rakyat Malaysia, anda juga pentingkan diri sendiri kerana bersuara saat anda berada di negara lain, sedangkan banyak lagi kaum anda berada di Malaysia yang akan menanggung kebencian rakyat Malaysia di atas hate speech anda. Atau mungkinkah inilah skrip anda hafal untuk lulus temuduga relocation ke Australia?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.