Dengar playlist penuh di sini
.

Dulu, setiap kali masuk ke kedai buku atau kiosk majalah, kaki seolah-olah tahu hendak melangkah ke mana dahulu. Bukan ke rak novel atau majalah hiburan tetapi ke rak majalah kartun.
Dan di situlah biasanya Majalah Ujang menunggu.
Kulit depannya yang berwarna-warni memang sukar untuk diabaikan. Kadang-kadang belum tentu beli lagi tetapi tangan sudah terlebih dahulu mencapai dan menyelak beberapa muka surat. Kalau lawaknya menjadi, memang susahlah hendak letak semula di rak.
Bagi ramai kanak-kanak dan remaja ketika itu, Majalah Ujang bukan sekadar bahan bacaan. Ia adalah sumber hiburan yang sentiasa ditunggu-tunggu setiap bulan.
Antara yang paling diingati pastinya Din Beramboi dan Usop Sontorian. Watak-watak ini bukan sahaja menghiburkan malah sering memaparkan kisah yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia. Sebab itulah lawaknya terasa lebih menjadi. Kita bukan sekadar ketawa tetapi turut memahami situasi yang cuba disampaikan.
Ada juga dialog-dialog tertentu yang terus melekat dalam ingatan. Kadangkala apabila diulang semula dalam kalangan kawan-kawan, semua orang terus faham tanpa perlu dijelaskan panjang lebar. Itulah uniknya humor dalam Majalah Ujang. Ringkas tetapi mengena.
Bagi sesetengah pembaca, membeli Majalah Ujang juga ada ceritanya yang tersendiri.
Bukan kerana ibu bapa melarang membacanya tetapi kerana tidak mahu majalah yang baru dibeli terus berpindah tangan kepada orang lain. Jadi ada yang menyimpannya terlebih dahulu di dalam beg sekolah sebelum dibaca ketika waktu rehat atau dalam perjalanan pulang ke rumah.
Apabila tiba di rumah, majalah itu akan dibaca semula dari muka depan hingga muka terakhir. Malah ada yang mengulang baca berkali-kali walaupun sudah tahu jalan ceritanya.
Tidak kurang juga yang mengumpul setiap keluaran. Dari satu naskhah menjadi dua, kemudian semakin banyak sehingga memenuhi rak buku atau almari di dalam bilik. Ketika itu, melihat koleksi Majalah Ujang yang tersusun kemas memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan.
Majalah Ujang akhirnya menamatkan penerbitannya pada tahun 2015 selepas lebih dua dekad menceriakan pembacanya.
Namun apabila namanya disebut hari ini, ramai yang masih mengingatinya dengan senyuman.
Kita teringat saat menyelak halaman demi halaman untuk mencari kartun kegemaran. Kita teringat lawak-lawak yang membuatkan kita ketawa sendirian. Dan kita teringat zaman ketika lima ringgit sudah cukup untuk membeli hiburan yang mampu menemani kita berhari-hari.
Mungkin itulah sebabnya Majalah Ujang masih dikenang hingga hari ini. Bukan semata-mata kerana kartunnya tetapi kerana ia menjadi sebahagian daripada kenangan zaman yang tidak akan berulang lagi.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.